Biar apa orang nak kata

Ustaz rosli

SEJAK dari bujang saya bersama PAS, dah berlori saya lihat pimpinan dan orang PAS kena maki hamun, kena fitnah, hinggakan orang kecik macam saya yang tidak punya kelebihan pun kena jugak, malahan sampai kepada peringkat pimpinan PAS dipenjara malahan yang dibunuh pun ada.

Advertisement

Namun saya tetap bersama PAS, kerana saya tahu dan saya yakin Allah swt lebih-lebih lagi mengetahui apa yang saya lakukan. Saya tidak mengutip PAS dari bakul sampah atau dari kalam lidah orang-orang yang siang dan malam mencerca Islam.

Tetapi saya perolehinya dan menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan kerana ianya keluar dari kalam lidah para ulama dan orang-orang soleh yang mencintai Islam, yang bersandarkan dari Al Qur’an dan Al Hadis.

Saya mendapatkannya di majlis ilmu yang dimuliakan oleh Allah, RasulNya dan para MalaikatNya. Saya juga memahami perjuangan PAS ketika berada di bawah bumbung madrasah, pondok, masjid, surau, mimbar dan halaqat usrah.

Ikatan saya bersama PAS semakin ketat, diikat dengan hubungan jamaah yang disatukan melalui “Liqaul fikri”, akal yg sentiasa berfikir tentang Islam, juga dengan perasaan yang sama iaitu mencintai Islam. Saya kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan saya, sangat bahagia hidup berjamaah.

Carut marut musuh itu hanya seumpama najis, tak perlu simpan, tak perlu dipedulikan, ia hanya akan membawa wabak yang semakin membusukkan hati, ada masa kita perlu berhujah dan ada masanya kita perlu berdiam, kerana bukit takkan runtuh disalak anjing. – HARAKAHDAILY 7/1/2018