Cadangan atasi pengangguran dan wujudkan peluang pekerjaan

khairil
INISIATIF lebih bersepadu perlu dilaksanakan kerajaan dan pihak swasta di negara ini dalam peranan untuk mengatasi masalah pengangguran serta mewujudkan peluang pekerjaan terutama dalam kalangan rakyat. Perhatian diberikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap isu ini memerlukan perbincangan semua pihak dalam menggariskan penyelesaian jitu terhadapnya. Secara asas, pengangguran berlaku ekoran kurangnya peluang pekerjaan, selain fenomena masa kini dalam kalangan anak muda terutamanya yang memilih pekerjaan.
 
Masalah ini biarpun merupakan cabaran kepada seluruh negara di dunia, namun ia tidak harus menjadi satu budaya tanpa mencipta bantuan dan tindakan untuk tenaga kerja negara memajukan diri. Apatah lagi dalam mengatasinya, segala kejujuran, ketelusan dan tanpa sentimen politik sangat dituntut untuk dilaksanakan. Juga memastikan pelbagai inisiatif telah diadakan pihak kerajaan seperti peluang latihan teknikal dan usaha melahirkan graduan, diseiringkan dengan peluang pekerjaan serta mengecilkan sebab-sebab pengangguran.
 
Kecenderungan mengambil pekerja asing yang lebih dipercayai oleh para pemain industri berbanding menawarkan ruang kepada warga tempatan dilihat meningkatkan jumlah mereka hingga 2 juta mengisi pelbagai sektor. Sekali gus ia meningkatkan jumlah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga dilaporkan lebih 4 juta masih gagal didaftarkan Jabatan Imigresen. Malah, mereka bebas terlepas dalam negara dan bekerja, sedangkan 520,000 rakyat negara ini terutama golongan muda masih lagi mengisi statistik pengangguran.
 
Pihak majikan disyor menyediakan pelan pembangunan kerjaya termasuk insentif kenaikan gaji tahunan dan elaun sara diri, termasuk menyediakan jadual dan suasana kerja lebih kondusif dengan pengurusan lebih baik. Ini bagi memastikan pekerja tempatan seronok untuk menyumbang ke arah kualiti kerja, serta memberikan kesungguhan serta perkhidmatan terbaik dalam tempoh lebih lama. Gaji dan elaun pekerja tempatan juga haruslah lebih tinggi berbeza dari pekerja asing yang telah diberi kemudahan kediaman dan makan minum.
 
Kerajaan wajib menguatkuasakan mekanisma kawalan pengambilan pekerja asing secara telus dan memberikan insentif seperti rebet cukai tahunan bagi majikan yang berjaya menggajikan pekerja tempatan sepenuhnya di syarikat mereka. Cukai dan levi lebih tinggi kepada pekerja asing boleh diperkenalkan, selain syarikat yang menggaji lebih 50 peratus pekerja asing juga turut dikenakan cukai pendapatan lebih tinggi. Pengecilan sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing juga haruslah diperinci kerajaan dalam membendung keadaan sedia ada.
 
Aktiviti perniagaan dalam kalangan belia perlu digalakkan dengan memberi pengecualian cukai berkaitan antara 1 hingga 3 tahun, terutama belia berumur 30 tahun ke bawah yang menjalankan perniagaan sendiri termasuk perniagaan dalam talian. Begitu juga dibidang pertanian dengan memberi galakan menerusi pembangunan tanah-tanah terbiar milik kerajaan atau GLC, termasuk tanah persendirian untuk diusahakan menerusi bantuan dana atau keperluan bagi memulakan aktiviti tersebut.
 
Kerajaan disaran tidak terus mempromosikan Pertanian Bandar kepada sasaran-sasaran yang tidak berminat menjalankannya di kediaman flat mereka kerana dilihat membazir. Lebih efektif dana tersebut diperuntukkan secara berfokus dalam membantu belia menganggur meneroka ‘indoor farming’ atau ‘rooftop farming’ terutama di kawasan yang tiada tanah seperti Lembah Klang. Juga mengadakan projek perladangan haiwan ternak dengan model seperti inisiatif tanah rancangan Felda untuk disertai tenaga kerja tempatan.
 
Kerajaan juga digesa membantu secara khusus golongan gelandangan untuk memiliki sara hidup dengan tawaran pekerjaan yang bersesuaian antaranya menempatkan mereka di satu kelompok aktiviti ekonomi sama ada pertanian atau industri. Selain itu, mentaliti kalangan belia yang suka memilih pekerjaan diubah dengan meningkatkan kempen serta promosi peluang pekerjaan menerusi kolaborasi bersama pihak syarikat-syarikat memerlukan pekerja dalam negara ini.
 
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
7 Januari 2018 | 19 Rabiul Akhir 1439 – HARAKAHDAILY 7/1/2018
Advertisement