Harap semangat pahlawan angkat PAS di Pasir Salak

PASIR SALAK: PAS mencipta sejarah buat pertama kali sejak dari kemerdekaan tahun 1957, apabila berjaya mengadakan ceramah sempena penubuhan Jawatankuasa Penaja PAS Kampung Setia, Kampung Gajah, di sini semalam.
 
Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari berkata, ramai penduduk di Pasir Salak itu berketurunan darah pahlawan Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela. 
 
“Tempat ceramah malam ini tak jauh dari tebing Sungai Perak tempat  di mana J.W.W Birch dibunuh oleh Datuk Maharajalela,” ujarnya membangkitkan semangat perjuangan hadirin.
 
Program ceramah sempena penubuhan tersebut telah turut diisi oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim yang dalam ucapannya menyatakan kebanggaan terhadap keberanian orang Pasir Salak menembusi antara kubu Umno paling kebal sehingga boleh ditubuhkan Cawangan PAS. 
 
“Saya beruntung boleh menumpang sebahagian dari keberanian ini. Kalau tak berani masakan J.W.W Birch boleh menemui ajal di sini di tangan pahlawan Pasir Salak. Insya-Allah sifat garang ini akan dimanfaatkan untuk mempertahankan Islam,” ujarnya menyuntik semangat. – HARAKAHDAILY 7/1/2018
Advertisement