441 peneroka Felda dapat tanah di Kemahang

SERAMAI 441 peneroka Felda Kemahang 2 dan 3 masing-masing menerima surat hak milik tanah dari kerajaan negeri, dekat sini semalam.

Advertisement

Dari jumlah itu, seramai 436 penerima peneroka Felda Kemahang 3, selebihnya peneroka Felda Kemahang 2.

Setiap penerima masing-masing mendapat 10 ekar tanah kelapa sawit dan suku lot tapak rumah.

Geran tersebut disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada majlis yang diadakan di Dewan Orang Ramai Felda Kemahang 3, dekat sini.

Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, pemberian geran berkenaan sebagai menghargai kepada peneroka kerana telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu.

Menurutnya, pemberian itu sebagai tanda terima kasih kerana telah memajukan ekonomi negeri.

Beliau berkat, kerajaan negeri berusaha  untuk menyelesaikan masalah rakyat termasuk berkaitan tanah sebagai satu amanah rakyat.

“Tahniah kepada semua penerima suratan hak milik dan terima kasih kepada semua terlibat berusaha mendapatkan geran ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun syarat baru kerajaan hanya tiga ekar tanah setiap penerima selain tapak rumah, namun sebagai menghargai mereka, setiap penerima mendapat 10 ekar.

Katanya, 80 ribu lot tanah telah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian untuk penerima setakat ini.

Turut berucap pada majlis itu, Adun Kemahang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, juga Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Hadir sama pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Pengarah PTG, Datuk Nazran Muhammad, Ketua Jajahan Kuala Krai, Norazman Abdul Ghani dan wakil-wakil Felda. – HARAKAHDAILY 8/1/2018