Gagasan Sejahtera sedia lakar sejarah di Johor

JOHOR BAHRU: Gagasan Sejahtera Johor yang menggabungkan PAS, Ikatan, Berjasa dan NGO-NGO telah dilancarkan secara rasminya di Hotel Tropical Inn, di sini semalam.
 
Pelancaran gilang-gemilang melakar sejarah politik di Selatan tanah air itu telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.
 
Dalam ucapannya dihadapan lebih 300 delegasi pada majlis itu, beliau menegaskan bahawa Gagasan Sejahtera pada PRU14 nanti akan menentang BN dan PH.
 
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menempelak Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baharu menjadi pembangkang untuk tidak sibuk mengajar harimau makan daging.
 
Katanya, PAS tahu untuk mengadakan pelbagai pendekatan baharu dalam menghadapi musuhnya dalam pilihan raya tanpa perlu telunjuk bekas Perdana Menteri (PM) itu.
 
Beliau turut menyindir percaturan PH menamakan calon PM umpama orang yang baharu pergi memancing, sedangkan perencah sudah direnehkan di rumah.
 
Pada majlis itu, Pengerusi Protem Ikatan Johor, Ahmad Zainuddin Zulkefly dan Exco Berjasa, Abd Aziz Pardan dalam ucapan mereka menyatakan sokongan dan komitmen parti masing-masing untuk menghadapi PRU14 bersama Gagasan.
 
Manakala Naib Presiden PCM, Dato’ Huan Cheng Guan menzahirkan komitmen parti itu dengan mengumumkan sumbangan RM3,000 kepada Gagasan Sejahtera Johor.
 
Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu turut menyatakan kesediaan PCM membantu gerak kerja bersama dari masa ke masa, selain memuji PAS yang mengetuai Gagasan Sejahtera sebagai parti berprinsip.
 
Turut berucap adalah wakil NGO Ummah Johor, Dr Mazri Yahya yang melontarkan kekhuatiran betapa PH telahpun mencalonkan PM berusia lebih 90 tahun dan terpalit dengan pelbagai isu berat.
 
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin pula menegaskan bahawa PAS Johor yang akan bertanding di 19 Parlimen dan 38 Dun mengalu-alukan gabungan tersebut. – HARAKAHDAILY 8/1/2018
Advertisement