Bukit Mertajam rasmi serentak Mesyuarat Agung Cawangan

BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam telah melangsungkan perasmian serentak Mesyuarat Agung PAS Cawangan yang diadakan di Maahad Tahfiz al-Aqsa, di sini kelmarin.
 
Majlis yang menghimpunkan semua Ketua dan Ahli-ahli Jawatankuasa daripada 12 PAS Cawangan itu disempurnakan perasmian oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
 
Dalam ucapannya, beliau menggariskan semula kefahaman mengenai PAS sebagai Gerakan Islam dan bukannya semata-mata parti politik, di mana berperanan melakukan tajdid terhadap negara.
 
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menegaskan mengenai kerusi N.14 Dun Machang Bubuk dalam Parlimen Bukit Mertajam yang akan ditandingi PAS.
 
Beliau menyeru seluruh jentera PAS dalam kawasan itu bersiap siaga bagi menggiatkan gerak kerja untuk memenangkan calon PAS pada PRU14 yang akan diadakan tidak lama lagi.
 
Manakala Yang DiPertua PAS Bukit Mertajam, Ustaz Mohd Husni Mat Piah terus merangsang agar solidariti ahli PAS Kawasan itu bekerja lebih keras memaksimakan faktor kemenangan di Machang Bubuk nanti.
 
Pada majlis sama Dr Samsuri turut melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Dun Machang Bubuk. – HARAKAHDAILY 9/1/2018
Advertisement