Kunjungan mahabah Pemuda PAS ke Tai Chi Huang

KEPONG: Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPNDPPM )telah mengadakan ziarah persahabatan ke Persatuan Seni Tai Chi Huang Malaysia di Pusat Komuniti Bandar Manjalara, di sini kelmarin.
 
Pertemuan secara santai itu diketuai Pengerusi LPNDPPM, Ir Khairil Nizam Khirudin yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia bersama anggota jawatankuasa lajnah tersebut.
 
Kunjungan ziarah itu dalam rangka membina hubungan bersama kumpulan masyarakat Tionghua khususnya berfahaman Taoism dan penggiat seni Tai Chi.
 
Ianya juga sebagai mesej perpaduan dan menghargai keunikan budaya yang pelbagai serta menghormati perbezaan pegangan agama dalam kalangan rakyat Malaysia.
 
Majlis ringkas itu ternyata penuh harmoni diperlihatkan kedua-dua pihak dan anggota Tai Chi Huang turut mengutarakan harapan mengenai kehidupan tanpa prejudis antara rakyat Malaysia.
 
Pada kesempatan itu, Pengerusi Tai Chi Huang, Len Lee Nam berkesempatan memperkenal dan mengajar anggota Lajnah Perpaduan Nasional mengenai pergerakan praktikal Tai Chi.
 
Beliau turut menjelaskan mengenai sejarah, konsep, disiplin dan segala keunikan Tai Chi yang menjadi sebahagian gaya hidup positif dan muhibah dalam kalangan pengamalnya.
 
Pihak Lajnah Perpaduan Nasional juga pada pertemuan itu mengundang wakil Tai Chi Huang untuk hadir sama ke beberapa program dianjurkan pihak PAS.
 
Pertemuan mereka diakhiri dengan serahan cenderamata oleh Ir Khairil dan kempen Create Better Malaysia oleh wakil Jabatan Profesional Dewan Pemuda PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/1/2018
Advertisement