Selamatkan diri daripada ‘kebodohan politik’ berganda

SUHU politik negara kita sekarang ini sedang menaik, seiring dengan tempoh PRU yang semakin mendekat. Mengambil maklum bahawa perlunya kesedaran dalam kalangan rakyat dipertingkatkan, suka saya mengajak tuan-puan untuk membaca secebis cerita teladan yang mungkin akan memberikan sedikit pengajaran kepada mereka yang mahu berfikir. Kisahnya begini…

Advertisement

Di sebuah kampung, tinggal seorang peruncit tua yang mempunyai beberapa orang pekerja. Kedai runcitnya agak kecil, tetapi yang menariknya, ia mempunyai banyak barangan keperluan. Strategi jualannya adalah bagi membantu orang kampung untuk mendapatkan bekalan. Manakala keuntungan yang diambil cukup bagi membayar kos dan sedikit keuntungan yang sederhana. Pendek kata, dia tidak mengejar kekayaan yang melampau.

Strategi peruncit tua ini ditentang oleh beberapa pekerja-pekerjanya dan juga saudara mara yang terdekat. Ini bagi mereka, seharusnya keuntungan dilipatkan bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa pada masa depan, tanpa mengira masalah orang kampung yang memerlukan bekalan. Mereka mahu berhenti kerja, tetapi kerana di situ juga kurang terdapat peluang kerja, maka hasrat untuk berhenti dari kedai itu ditangguhkan.

Hasrat yang sudah lama terpendam itu akhirnya berjaya dilaksanakan apabila datang seorang kaya yang dikira sangat berjaya di dalam perniagaan, datang ke kampung itu, mengajak orang ramai menyertai perniagaan hypermarketnya. Dengan syarat mereka mestilah mengeluarkan wang belanja kepada orang kaya itu sebagai kononnya modal perniagaan mereka. Peluang yang terbuka ini digenggam seeratnya oleh para pekerja kedai runcit itu. Maka berbondong-bondonglah mereka meletakkan jawatan sebagai pekerja kedai itu dan mengikut orang kaya yang menjanjikan kejayaan dan kekayaan dalam perniagaan baru mereka, sambil mulut mereka terkumat-kamit menghina tuan kedai runcit itu sebagai orang tua yang tidak tahu berniaga, bodoh, tak fikir untung, tiada wawasan dan sebagainya. Berhabis harta mereka mengeluarkan modal kepada orang kaya itu.

Yang tinggal ialah pekerja yang masih dedikasi, mempercayai perniagaan bukanlah hanya keuntungan sahaja, tetapi lebih utama tanggungjawab sosial yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi keadaan penduduk kampung yang daif itu. Teruslah mereka bersama peruncit tua itu menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. Dan tidaklah terjejas tugasan mereka kerana tidaklah sehebat mana mereka yang berhenti kerja itu walaupun mengaku pandai banyak hal. Akhirnya kedai runcit kecil itu semakin mendapat sambutan setelah orang kampung tidak mampu membeli di hypermarket itu kerana harganya sentiasa berubah-ubah dan dengan promosi palsu yang membingungkan mereka kerana pengurusan yang tidak betul.

Setelah setahun, kedai runcit yang kecil itu menerima kemasukan untung sebanyak lebih RM40,000 setahun, satu jumlah yang sangat besar bagi kedai runcit walaupun sudah meminimumkan untung dan walaupun puas difitnah oleh bekas pekerjanya dan juga orang kaya itu. Ini adalah kerana kepercayaan orang kampung. Dan sebaliknya, projek hypermarket yang menjanjikan keuntungan dan kekayaan tidak dimaklumkan berapakah jualannya kerana kerugian sentiasa. Bekas pekerja kedai runcit itu yang dahulunya berjanji akan membekalkan sebanyak 130 jenis barangan yang sama asli dengan kedai runcit itu kepada orang kampung, hanya mampu membekalkan 27 jenis barangan tiruan sahaja. Itupun dengan ihsan oleh orang kaya itu. Manakala barangan lain diambil oleh orang lain. Walaupun tidak berpuashati, tetapi sebagai kuli, mereka tidak mampu melawan. Apalagi dengan modal mereka masih bersama orang tua yang kaya itu. Mereka mendiamkan diri sahaja.

Setelah lama dan masih kerugian, maka sedikit demi sedikit kisah orang kaya itu tersebar. Rupa-rupanya orang kaya tua itu adalah seorang bekas penipu di kampung itu juga yang kini kembali aktif menipu. Namun begitu, dia masih meneruskan penipuannya dengan memberi jaminan yang dia sudah bertaubat dan menjanjikan keuntungan yang lebih jika dia dikekalkan sebagai pengurus perniagaan itu. Mereka mempercayai orang tua itu dan diadakan majlis melantik orang tua penipu itu sebagai pengurus besar mereka sekali lagi. Orang kaya penipu itupun menangis kegembiraan di atas kepercayaan orang ramai itu.

Begitulah secebis kisah rekaan yang mungkin boleh dijadikan teladan kepada rakyat bagi menilai pasukan manakah yang patut diberikan kepercayaan bagi menerajui rakyat. Cara scammer perniagaan atau politik menjalankan tipu daya mereka amatlah mudah dikesan. Orang yang mudah terpedaya ialah orang yang tamak dan gila harta sehinggakan menjadi seperti orang bodoh. Bodoh ditipu scammer perniagaan biasanya sekali sahaja atas seorang penipu kerana dia tahu orang ramai akan mengenali dia jika sekali lagi menipu. Tetapi bodoh orang politik yang tamak boleh jadi berganda kerana walaupun muka, tubuh dan otak yang sama oleh si penipu, mereka tetap menerima penipu yang sama itu berulang kali kerana janji kuasa. Selamatkan diri anda daripada menjadi mangsa kebodohan berganda.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Rabiulakhir 1439/10 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 10/1/2018