Wisma Tok Guru: PAS akur keputusan mahkamah

PAS yakin Wisma Tok Guru di mukim Pendek, Salor akan menjadi milik PAS sepenuhnya selepas membeli lot yang menempatkan bangunan tersebut.

Advertisement

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, wisma yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor diharap berpihak kepada PAS pada perbicaraan kes tersebut nanti.

Katanya, PAS menghormati keputusan mahkamah yang membenarkan PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) menggunakan bangunan tersebut.

“PAS tiada sebarang masalah dan akur dengan keputusan mahkamah. Kita berharap tidak berlaku provokasi. Dalam suasana sekarang sepatutnya semua pihak menghormati hak masing-masing,” katanya di Kota Bharu.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu Isnin lepas memutuskan kedua-dua pihak, PAN dan PAS boleh menggunakan Wisma Tok Guru di Pendek, Salor selagi tidak berlaku sebarang provokasi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Dato’ Ahmad Bache berharap pihak plaintif dan defendan perlu bertindak atas semangat muafakat yang tinggi agar tidak timbul perbalahan.

Bagaimanapun hakim menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan bagi kedua-dua pihak melengkapkan dokumen berkaitan dengan saman pemula dan writ saman yang difaikan Mohd Yasin Yusoff, pemilik lot yang menempatkan Wisma Tok Guru. – HARAKAHDAILY 10/1/2018