PAS tetap bertanding di Temerloh

nasrudin

MENJELANG PRU14 ini, sekali lagi Temerloh menjadi kawasan panas. Pelbagai spekulasi negatif dan fitnah mula dilepaskan. Sementelah diberitakan bahawa PAN akan bertanding di Parlimen Temerloh. Menjadikan PRU kali ini pertembungan 3 penjuru.

Advertisement

Serangan terhadap peribadi saya telah digerakaktifkan. Perang saraf mula rancak. Kononnya saya akan cari tempat selamat, tidak berani nak pertahankan Temerloh, nak bertanding di Kelantan. Tidak turun kawasan dan 1001 serangan mula dilancarkan.

Insyaallah, 10 kali ganda lagi mereka lancarkan serangan, ianya tidak akan menjejaskan semangat juang saya bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini insya-Allah. Malah ia membuatkan “metabolisme” perjuangan saya makin meningkat.

Serangan saraf mereka nyata tidak berkualiti. Hanya mereka yang tidak memahami selok belok politik dan budaya berorganisasi sahaja boleh percaya bahawa saya akan mencari tempat selamat untuk bertanding.

Saya adalah pekerja parti. Parti yang memperjuangkan Islam iaitu PAS. Di mana saya akan bertanding, itu bukan pilihan dan keputusan saya. Posisi saya diletak atur oleh parti. Hanya calon Bebas sahaja boleh sesuka hati nak bertanding di mana-mana kawasan di seluruh negara. Sebab mereka tiada parti yang mengurus lokasi mereka bertanding.

Pada tahun 2004 (PRU11) saya bertanding di N.40 DUN Bukit Ibam dalam Parlimen Rompin. Tahun 2008 (PRU12) saya bertanding di P.086 Parlimen Maran. Tahun 2013 (PRU13) saya bertanding di P.088 Parlimen Temerloh. Semuanya diputuskan oleh parti dan saya hanya mematuhinya.

Tahun 2018 (PRU14) ini, mereka tidak perlu kalut mengenai diri saya. Justeru saya buat kesekian kalinya akan terus mematuhi ketetapan parti (PAS). Jika parti putuskan saya kekal bertanding di Temerloh, maka di situlah saya.

Malah jika parti putuskan saya tidak bertanding PRU kali ini, maka tidak bertandinglah saya. Saya hanya dengar dan taat arahan parti tanpa sedikitpun rasa ralat. PAS mempunyai ramai calon yang layak dan mampu. Bahkan jauh lebih baik daripada saya.

Namun PAS tetap akan bertanding di Parlimen Temerloh. Mempertahankan kerusi yang telah dimenangi oleh PAS. Bukan saya yang menang tetapi parti. Petugas-petugas parti dari semua peringkat bersama-sama rakan parti komponen pada masa itu, bekerja keras untuk memenangkan PAS.

PAS Kawasan Temerloh yang diketuai oleh Yang Dipertuanya Tuan Haji Jusoh Darus, Tuan Haji Hasanudin Salim sebagai Timbalan YDP dan Tuan Haji Hassan Omar selaku Naib YDP dan seluruh AJK PAS Kawasan telah mempersiapkan tenaga dan jentera bagi mempertahankan kerusi tersebut. Saya ulangi, bahawa PAS akan bertanding dan berusaha mempertahankan kemenangannya di Temerloh.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
23 Rabiul Akhir 1439 | 11 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 11/1/2018