PAS nafi jual ibu pejabat di KL

TEMERLOH: PAS tidak akan menjual ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu baru-baru ini, demikian tegas Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Advertisement

Jelasnya, PAS tidak pernah berhasrat untuk menjual aset parti yang sangat tinggi nilainya itu, bahkan sedang meneliti cadangan untuk membeli aset baru berketinggian 12 tingkat bagi menampung keperluan parti buat masa akan datang.

“Bangunan di Jalan Raja Laut itu sangat tinggi nilainya kerana lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Hanya PAS sahaja sebagai pemilik berstatus Bumiputera bagi hartanah yang berada di sekitar kawasan itu,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Jabatan Aset PAS Pusat.

Terang beliau, isu tersebut hanyalah mainan bagi mengalih perhatian rakyat kepada pergerakan PAS yang sudah jauh ke hadapan dalam persedian menghadapi PRU akan datang dengan melontorkan isu bagi melemahkan jentera PAS.

Beliau berucap dalam program Himpunan Pra Fastaqim 12K peringkat PAS Kawasan Temerloh di Perkarangan Pejabat PAS Kawasan Temerloh, di sini malam tadi.

Dalam himpunan itu, beliau turut menegaskan agar jentera PAS sentiasa berwaspada dengan mainan media yang diterajui oleh pakatan musuh Islam di mana sentiasa mencari ruang bagi memburukkan dan melemahkan perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 12/1/2018