Giatkan penerangan gerak gempur isu Felda

SIMPANG RENGGAM: Tanah rancangan Felda yang terdapat dalam 54 Parlimen seluruh negara memerlukan pimpinan PAS menggerakkan agenda penerangan dalam mendedahkan isu-isu berkaitannya agar berlaku perubahan dalam landskap politik negara.
 
Timbalan Pengarah Hal Ehwal Felda Lajnah Tanah PAS Pusat, Naraza Muda berkata, Felda telah memberi manfaat besar kepada negara apabila berjaya melahirkan 112,635 peneroka.
 
Namun kini menurutnya, Felda melalui zaman kegelapan terutama bermula tahun 2010 melibatkan penyalahgunaan kuasa dan salah urus tadbir serta pelbagai kegagalan lain.
 
“Setelah Felda Global Venture (FGV) mengambil alih kedudukan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam Felda Holding 2012, hampir keseluruhan landskap Felda telah berubah.
 
“Apa yang dicanangkan boleh membawa perubahan pendapatan kepada peneroka Felda bertaraf penduduk negara maju, tetapi berlaku sebaliknya,” ujarnya pada Majlis Penerangan Isu-isu Felda di Bangunan Haji Abdul Hamid, di sini semalam.
 
Terdahulu dalam penerangannya itu, Naraza mengimbau sejarah pembukaan Felda bermula 1956 dan era kegemilangannya sekitar 1980-an hingga 2010.
 
Beliau juga mengutarakan detik malang di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila program penempatan peneroka diberhentikan walaupun masih terdapat tanah seluas 360,000 hektar.
 
Kritik beliau jika Tun Mahathir tidak menyekat usaha tersebut, ianya dapat menambah manfaat dengan pembukaan kawasan baharu dan menempatkan 80,000 peneroka lagi, serta lonjakan ekonomi perladangan.
 
Program itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin; Ketua Pemuda PAS Johor, Juwahir Amin dan Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman serta Timbalan Yang DiPertua PAS Simpang Renggam, Mohd Jubri Selamat. – HARAKAHDAILY 13/1/2018
Advertisement