Umat Islam selamatkan negara dari hiburan liar rosak

TERDAPAT laporan dalam media negara ini bahawa ada bintang hiburan antarabangsa tidak mengadakan persembahan di Malaysia, dan hanya singgah di beberapa buah negara Asia Tenggara. Antara sebab artis terkenal tersebut tidak mengadakan persembahan di Malaysia adalah kerana kekurangan penajaan. Menurut laporan itu lagi, syarikat yang menjual produk tidak halal seperti alkohol dan rokok enggan memberikan penajaan, dan alasan paling utama adalah Malaysia dilihat semakin cenderung menjadi negara konservatif Islam. Bintang terkenal yang disebut itu adalah Celine Dion.
 
Selain Celine Dion, artis lain adalah seperti Coldplay, Megadeth yang dibatalkan konsertnya, Mayhem dan Beyonce serta beberapa artis terkenal lain. Bagi peminat hiburan antarabangsa, berita ini mungkin suatu perkara buruk yang meresahkan dan menyedihkan mereka. Tetapi masyarakat seluruhnya, berita inilah yang membawa sinar kebahagiaan dan memberi kebaikan khususnya bagi pertumbuhan generasi muda.
 
Jika alasan konservatif agama sebagai punca kurangnya penajaan maka kerana itu para artis terkenal tidak jadi konsert di Malaysia, maka itulah kejayaan kepada umat Islam di negara ini. Walaupun mereka menuduh umat Islam di negara ini beramal dengan konservatif agama, sedangkan mereka tidak tahu bahawa umat Islam di negara ini sedang mengamalkan ajaran sebenar agama Islam seperti yang dituntut oleh agama.
 
Berita ini memberi makna bahawa penaja menyedari bahawa Malaysia bukan seperti negara-negara lain yang bebas dan terbuka seluasnya. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai reputasi tinggi sebagai sebuah negara Islam. Walaupun ada pihak menganggap perkembangan ini sebagai negatif, namun bagi majoriti umat Islam di negara ini, ia adalah satu perkembangan positif. Justeru, dengan perkembangan ini, mereka yang berkira-kira mahu menganjurkan kosert di negara perlu menghormati budaya, amalan agama dan adat resam masyarakat di negara ini.
 
Islam tidak menyekat kebebasan, keterbukaan, hiburan dan keseronokan. Islam meraikan semua perkara tersebut asalkan pada had yang dibenarkan syarak. Islam hanya menolak budaya ‘liar’ yang melalaikan dan merosakkan, candu hiburan tanpa had dan kebebasan, parti-parti liar yang mengkhayalkan, lirik yang merosakkan, percampuran bebas lelaki dan perempuan yang tidak ada batasan. Kesudahannya anak-anak muda yang berakhir dengan perzinaan, maksiat, minum arak, menghisap rokok, mengambil dadah, bergaduh dan lain-lain. 
 
Masyarakat di Malaysia juga sangat bimbang generasi anak-anak muda yang memiliki akhlak dan tingkah laku yang liar, suka berhibur, berpakaian tidak senonoh, mengambil artis-artis barat yang liar dan berakhlak buruk sebagai ikon hidup mereka. Oleh kerana itu, masyarakat Malaysia merasa sensitif dan amat prihatin terhadap budaya hiburan yang menular. Banyak siri bantahan yang disuarakan terhadap penganjuran konsert-konsert menyebabkan para penaja dan penganjur merasa ‘panas punggung’ untuk menganjurkan sesuatu konsert. Mereka serik dengan banyaknya bantahan dan kebencian masyarakat terhadap hiburan yang melalaikan ini.
 
Mungkin para penaja dan penganjur konsert perlu mengetahui bahawa Malaysia bukan hub hiburan dan konsert liar mega bersifat antarabangsa. Di dalam negara ini sendiri, terlalu banyak elemen hiburan yang melalaikan telah terhidang di depan mata. Malaysia tidak kurang pusat-pusat hiburan dan kelab malam di mana-mana, pusat karaoke dan rumah urut yang hampir tidak terkawal. Di tambah dengan media sosial dan televisyen yang hampir setiap masa menghidangkan hiburan untuk setiap golongan.
 
Biarkan golongan yang cintakan hiburan dan pemuja artis terkenal antarabangsa mendapat hak hiburan mereka di luar negara. Pergilah mana-mana negara Asia Tenggara untuk mendengar, menonton dan menyaksikan sendiri artis tersebut, tetapi bukan di Malaysia. Kepada umat Islam dan pencinta kepada kemakmuran, teruskan dengan bersifat sensitif dan prihatin terhadap negara. Dengan sikap mereka ini, mungkin kita dipandang hina oleh segelintir orang, tetapi ia mampu menyelamatkan masyarakat dan negara.
 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
14 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 14/1/2018
Advertisement