Bot pukat tunda jejas nelayan kecil Labuan

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Labuan menggesa pihak berwajib melakukan pemantauan berkesan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan melanggar undang-undang di perairan negara.
 
Yang DiPertua PAS Labuan, Hamir Zahari berkata, pihaknya mendapati enam bot pukat tunda sedang menjalankan kegiatan mereka tidak jauh dari Pantai Kampung Layang-layangan, di situ.
 
Menurutnya, pemantauan sekitar jam 8:30 pagi tadi dibuat berikutan aduan daripada para nelayan tempatan yang telah mengalami situasi kehadiran pukat tunda tersebut sejak seminggu lalu.
 
“Kami pasti bot-bot pukat tunda tersebut berada kurang 5 batu Nautika daripada pantai kerana jelas nampak dan boleh diambil gambar dengan ‘handphone‘.
 
“Para nelayan tempatan mengadu bot-bot tunda tersebut menjalankan aktiviti sekitar laut di Sungai Lada, Sungai Labu, Layang-layangan dan Pohon Batu.
 
“Jika perkara ini berterusan, mata pencarian nelayan-nelayan kecil yang juga anak jati Labuan akan merosot dan terjejas!” ujar beliau.
 
PAS Labuan katanya, mendapati bahawa jarak dibenarkan oleh Undang-undang Maritim kepada bot pukat tunda hanya dibenar melakukan kegiatan di kawasan 12 batu Nautika ke atas.
 
Kesalahan itu disandarkannya kepada tahanan dan tangkapan ke atas bot pukat tunda yang beroperasi kurang daripada 5 dan 6.5 batu Nautika masing-masing di Johor dan Terengganu oleh Maritim Malaysia.  – HARAKAHDAILY 15/1/2018
Advertisement