Pelaksanaan hukum syariat dalam undang-undang Kedah

PELAKSANAAN undang-undang syariat merupakan salah satu ciri penting negara Islam, termasuk kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di Alam Melayu. Semenjak berdirinya Kerajaan Islam Perlak pada tahun 840 Masehi sehingga lawatan Marco Polo di Samudera Pasai pada 1292, telah dicatatkan bahawa undang-undang syariat telah dikuatkuasakan di negeri-negeri tersebut. Sedangkan di Tanah Melayu, Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 adalah bukti artifak mengenai pelaksanaan syariat. Di Kelantan dan Kedah, kerajaan Islam dikatakan wujud seawal abad ke-12, manakala Hukum Kanun Melaka menjadi antara undang-undang Islam terlengkap yang pernah dilaksanakan di Tanah Melayu.
 
Hukum Kanun Melaka dikatakan memberi pengaruh yang besar terhadap Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Pahang dan juga Undang-undang Kedah. Undang-undang Kedah yang bertarikh 1650 mempunyai beberapa teks undang-undang meliputi Undang-undang Pelabuhan, Undang-undang Seri Paduka Tuan, Hukum Kanun Datuk Kota Setar, Cara Membuat Bunga Emas dan Undang-undang Hijrah Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan. Undang-undang Kedah dikatakan ditulis dengan bersumberkan Undang-undang Melaka, tetapi ia lebih teratur. R.O Winsted yang menterjemahkan undang-undang ini ke bahasa Inggeris dalam JMBRAS VI: 1928 mencatatkannya sebagai “The Kedah Laws.”
 
Berbanding dengan Undang-undang Pelabuhan yang membicarakan tentang peraturan pelabuhan dan perdagangan termasuk soal cukai kepala pendatang asing, cukai pelabuhan, cukai timah, cukai hamba, piawaian sukat timbang, keamanan pelabuhan serta misi dan duta asing yang termasuk dalam undang-undang sivil Islam; Undang-undang Seri Paduka Tuan pula membicarakan keberlakuan undang-undang jenayah syariat di negeri Kedah. Manakala Hukum Kanun Datuk Kota Setar memperkatakan tentang perilaku raja-raja dan larangan menderhaka, dan Cara-cara Membuat Bunga Emas menghuraikan tentang pembuatan bunga emas dan bunga perak untuk dihantar ke Siam sebagai ufti. Undang-undang Hijrah Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan yang menyerupai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka melibatkan peraturan adat istiadat, hukum jenayah, hukum keluarga, hukum sukat timbang dan hukum berwakil. 
 
Undang-undang Seri Paduka Tuan yang mengandungi 16 fasal memperkatakan hukum orang mencuri, menyamun, menyabung, makan madat, berjudi, menyembah berhala, minum arak dan tuak serta perbuatan haram di sisi Islam; tanggungjawab ketua kampung untuk mengawasi orang tidak berpuasa dan tidak solat Jumaat yang boleh dikenakan takzir; pembazaran zakat pertanian; jual beli dan penjagaan haiwan ternakan; dan juga masalah tanah (ihya ul-mawat). Adapun sebahagian undang-undang jenayah dan sivil Islam terdapat juga di dalam Undang-undang Hijrah Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan iaitu hukum jenayah terhadap perbuatan mencuri, merompak, membunuh, mengamuk, mengganggu isteri dan tunang orang, berhutang, memfitnah dan menuduh orang. Undang-undang ini turut mempunyai undang-undang keterangan mengikut hukum Islam.
 
Pelaksanaan Undang-undang Kedah semenjak tahun 1650 ini membuktikan undang-undang syariat telah berkuat kuasa dalam semua aspek kehidupan umat Islam di negara ini, termasuk undang-undang jenayah syariat. Kesalahan-kesalahan jenayah hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), meminum minuman keras (syarab), mengamuk (bughah), bersekedudukan (zina) dan menuduh orang berzina (qazaf), termasuk kesalahan membunuh (qisas) adalah merupakan undang-undang yang telah terpakai sejak sekian lama di Tanah Melayu. Misalnya, dalam Undang-undang Kedah dicatatkan, “Adapun hukum orang yang mencuri titah itu dibunuh atau dibelah lidahnya atau dikupas kulit kepalanya dan suatu hukum dipotong tangannya.”
 
Lebih menarik lagi, Undang-undang Kedah dalam mencatatkan peraturan-peraturan yang berkait dengan kesalahan jenayah, qisas dan takzir, dinyatakan pandangan al-Quran atau hukum Allah tentang hukum yang berkaitan tersebut. Dalam bab zina misalnya, ia mencatatkan, “Adapun hukum Allah Taala, jika ia muhsan itu direjam.” Kewujudan Undang-undang Kedah sejak abad ke-17 ini menunjukkan bahawa perjuangan PAS untuk menegakkan undang-undang syariat melalui pindaan Akta 355 dan juga Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 2015 adalah bukan perkara baru, tetapi mengembalikan semula undang-undang yang telah dicabul oleh penjajah setelah negara ini jatuh ke tangan mereka secara berperingkat semenjak jatuhnya Melaka pada 1511.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 16/1/2018
 
Advertisement