Dr Mahathir, Najib bukan pilihan PAS

PAS tidak berminat memilih calon perdana menteri sama Tun Mahathir Mohamed atau Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan mereka mempunyai rekod dan masalah tersendiri.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, rakyat pun sudah mengetahui kenapa PAS tidak memilih kedua-dua pemimpin tersebut.

“Bahkan kita sendiri mempunyai calon pilihan yang akan diputuskan parti selepas ini.

“Kita akan cadangkan calon perdana menteri yang lain, tetapi setakat ini, terlalu awal untuk kita beritahu,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak PAS menyatakan pendirian sama ada memilih beliau atau Najib sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kita nak tahu PAS nak bertanding siapa perdana menteri dia, calon Najib ke, calon saya ke, itu saya hendak tahu,” katanya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, isu menamakan calon perdana menteri boleh diibaratkan seperti pasangan yang baru berkahwin.

Katanya, isteri belum mengandung tetapi sudah sibuk untuk mencari nama untuk anak. – HARAKAHDAILY 17/1/2018