Isu pengangguran: Cadangan PAS

nasrudin2

STATISTIK daripada Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencatatkan seramai 3.5 % daripada tenaga buruh di Malaysia tidak berkerja.

Advertisement

13.1% daripada statsitik berikut adalah dari kalangan belia yang rata-ratanya adalah graduan.

Angka tenaga buruh dari kalangan anak muda tersebut telah memberi satu justifikasi  bahawa kadar pengangguran di Malaysia kini berada di paras yang tinggi.

Namun ironinya, baru-baru ini kita dikhabarkan menerusi ucapan Perdana Menteri yang mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia mengalami peningkatan iaitu dengan justifikasi KDNK meningkat sebanyak 5.4% pada hujung tahun 2017 berbanding 4.8% pada awal tahun 2017.

Jadi, dengan perkembangan ekonomi yang dikatakan stabil, sepatutnya menatijahkan satu lapangan pekerjaan yang semakin baik. Namun realiti yang dihadapi rakyat khususnya graduan adalah rata-rata daripada mereka dibelenggu dengan masalah tidak mendapat pekerjaan.

Selain itu, perkara lain yang merisaukan juga adalah mengenai kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Trend peratusan pengangguran semakin meningkat daripada 3.2% pada tahun 2015 kepada 3.5% pada tahun 2017.

Menurut Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan 50,000 pembuangan pekerja dijangka berlaku pada 2018. Isu pembuangan pekerja  menjadikan krisis pengangguran ini semakin sukar.

MUHASABAH PUNCA

Ramai yang mengulas mengenai isu pengangguran dan peluang pekerjaan ini dengan melihat daripada perspektif majikan iaitu dengan mengatakan bahawa majikan terpaksa menghadkan bilangan pekerja disebabkan terpaksa menanggung beban kos pengurusan antaranya GST, utiliti dan levi pekerja.

Selain itu, tidak kurang juga yang menyatakan pandangan dengan melihat menerusi lensa pekerja dan graduan yang mengatakan bahawa persaingan yang wujud dalam dunia pekerjaan kini bukan sahaja saingan sesama graduan dan pekerja, tetapi wujudnya saingan baru buat mereka iaitu digitalisasi lebih-lebih lagi dunia kini hampir dengan Revolusi Indutsri.

Hakikatnya, rakyat marhean yang menjadi mangsa kepada krisis yang berlaku. Dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang tinggi, rakyat berhadapan dengan risiko pengangguran selain gaji yang tidak mencukupi.

Apa yang boleh dirumuskan mengenai fenomena yang berlaku ini adalah hasil daripada corak ekonomi yang cenderung pada kapitalisme dalam praktis ekonomi di negara kita.

Perkembangan ekonomi yang lebih cenderung kepada keuntungan golongan pelabur sebenarnya membawa kepada kemuncupan pemilikan bagi masyarakat umum sekaligus menjadi pemerkosa terhadap kebajikan mereka.

Seharusnya corak dan etika ekonomi perlu menurut seiring dengan nilai dan prinsip Islam. Sumber ekonomi yang kian terhad perlu diuruskan sebaiknya bagi menghadapi kemahuan manusia yang dinamik.

Islam meletakkan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kemaslahatan ekonomi. Polisi yang tidak popular kepada golongan korporat atau pelabur, terkadang perlu dilaksanakan demi kemaslahatan rakyat secara umum.

Keperluan rakyat secara holistik termasuk peluang pekerjaan sebenarnya dapat terhasil dengan mengatur sumber dan maslahah rakyat dengan betul.

Pekara ini bertepatan dengan konsep Politik Islam dan qawaid fiqhiyyah :

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

“Tindakan Seorang Pemimpin atas rakyat harus bertepatan dengan maslahah”

LONTARAN PRESIDEN PAS

Dalam membahaskan isu pengangguran, sekurang-kurangnya tiga konsep utama telah dilontarkan oleh  Tuan Guru Presiden dalam artikel beliau yang bertajuk Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran. Antara perkara yang ditekankan adalah;

a.Kefahaman rakyat dan juga pimpinan terhadap konsep pendapatan melalui pembahagian rezeki menurut Islam

b.Pembahagian kerja yang wajib disaksamakan

c.Melaksanakan keperluan yang wajib dimajukan tanpa melampau.

KEPERLUAN YANG WAJIB DIMAJUKAN

Dalam konteks isu pengangguran, isu pokoknya adalah masalah kekurangan peluang pekerjaan.

Selain daripada terlalu fokus kepada kegawatan ekonomi dan revolusi industri, apa yang perlu dilihat adalah adakah segala keperluan rakyat dari sudut survival seperti penyediaan makanan asasi pakaian, kenderaan dan sebagainya telah dikembangkan sebagai peluang pekerjaan kepada mereka?

Saban tahun isu kekurangan sumber makanan berlaku, ini bermakna permintaan begitu banyak lebih dari pengeluaran. Persoalannya mengapa masih lagi tiada peluang pekerjaan? Adakah rakyat tidak mahu bekerja atau ruang belum benar-benar dikembangkan?

Perkara ini sepatutnya membuat kita berfikir semula tentang acuan dan orientasi pendidikan hari ini, adakah pendidikan hari ini menghasilkan tenaga mengikut keperluan industri dan pelabur atau mengikut bidang dan aspek yang diperlukan oleh rakyat?

Dalam data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun 2016, jumlah pelajar Kursus Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan di Universiti Awam adalah seramai 121,354 orang berbanding pelajar Kursus Pertanian dan Veterinar hanya 12,639 orang.

Jumlah graduan jurutera jauh meninggalkan graduan pertanian, mereka ini dilahirkan untuk memenuhi kehendak pemain industri atau keperluan sektor-sektor penting?

Tidak dinafikan, para pemain industri banyak menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat, namun kebergantungan kepada industri semata-mata tanpa perkiraaan yang tepat dan tanpa pemfokusan pada sektor-sektor penting, menjurus kepada krisis dan ketidak seimbangan yang berlaku hari ini.

Hakikatnya pelabur-pelabur ini tidak mampu memberi peluang pekerjaan yang cukup. Akhirnya, graduan menganggur ramai, dalam keadaan keperluan asasi rakyat masih lagi belum mencukupi.

Inilah yang dimaskudkan dengan penghasilan peluang pekerjaan berorentasikan keperluan rakyat. Secara asasinya manusia akan memerlukan beberapa perkara asas bagi kesejahteraan hidup.

Kerajaan juga memerlukan “rezeki” bagi mentadbir rakyat dengan mengambil manfaat daripada hasil bumi. Justeru atas keperluan inilah dikembangkan ilmu dan bakat manusia bagi memenuhi keperluan-keperluan ini.

Antara langkah awal yang boleh diambil adalah dengan pelaksanaan kajian stratergik terhadap keperluan rakyat yang boleh dikembangkan sebagai peluang pekerjaan buat rakyat.

Dari sini pendidikan perlu diarah bagi memenuhi keperluan ini dengan suntikan motivasi bagi mencebur bidang-bidang seperti ini.

Doktrin “mesti aliran sains” mesti dihapuskan, dan penerapan minat pelajar pada “kerja kampung” perlu dipertingkatkan untuk memaju industri asasi.

Selain itu, pemusatan biasiswa dan geran kajian juga boleh difokuskan kepada aspek-aspek keperluan rakyat dalam mengembangkan industri yang tidak akan mati dek keperluan rakyat terhadapnya.

KESTABILAN DALAM PEMBAHAGIAN KERJA

Realiti yang berlaku pada hari ini, banyak syarikat cenderung untuk mengupah buruh asing berbanding buruh tempatan. Kecenderungan ini adalah disebabkan dengan mengupah buruh asing dapat mengurangkan kos operasi mereka dan secara tidak langsung menambah keuntungan.

Dari satu sudut yang lain, ia sebenarnya menambahkan jumlah pengangguran yang akhirnya membawa impak yang negatif kepada ekonomi negara. Dengan memberi peluang kerja lebih kepada rakyat tempatan, pengaliran duit akan lebih banyak di dalam negara berbanding di luar negara, lantas ia membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Apa yang perlu difikirkan adalah satu permuafakatan di antara majikan dan juga pihak kerajaan perlu dicapai bagi menyelesaikan masalah ini. Ini kerana kondisi ekonomi negara dan rakyat juga bakal memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada para majikan.

Antara cadangan yang boleh diutarakan kepada pihak majikan adalah mengurangkan jumlah buruh asing dan melebihkan rakyat tempatan dalam pemilihan pekerja.

Disamping itu, majikan perlu mengambil kira jumlah gaji yang bersesuaian dengan kos minimum sara hidup rakyat. Ini bagi menjamin produktiviti dan kestabilan pekerja jangka panjang.

Dalam pada itu, kerajaan sebagai penentu dasar, perlu mengambil langkah-langkah yang efektif dan mendasar dalam isu melibatkan pihak majikan.

Beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan yang sebahagiannya telah dilaksanakan di negara lain adalah ;

a.Levi pekerja asing boleh ditingkatkan dengan kadar yang tinggi dan menetapkan had ke atas tenaga pekerja asing oleh industri.

b.Penguatkuasaan perlu diperketatkan dengan menjalankan pemantauan berkala terhadap buruh asing dan mengenakan denda yang tinggi kepada syarikat yang melanggar peraturan.

c.Menetapkan kuota minimum pekerja tempatan dalam syarikat asing yang beroperasi di Malaysia.

d.Menggalakkan dan memberikan insentif kepada pemodal/syarikat untuk mengembangkan industri keperluan asas yang tidak popular.

Hayatilah Firman Allah SWT :

Allah berfirman:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” [Surah Az-Zukhruf, Ayat 32]

BUDAYA KRONISME DAN MONOPOLI

Kronisme dalam mengurus tadbir sumber negara juga perlu diminimakan. Kronism ini pada satu perspektif, dilihat baik kerana seolah memberikan kerja kepada syarikat yang dipercayai, akan tetapi ia sebenarnya memberi kesan negative yang besar pada negara.

Ia mampu menghalang syarikat lain yang mempunyai kredibiliti yang lebih baik untuk memperolehi keuntungan.

Lebih memburukkan keadaan, ia boleh  menyebabkan berlakunya monopoli apabila satu syarikat memiliki hampir semua projek kerajaan.

Akhirnya mengakibatkan syarikat-syarikat lain tidak dapat bersaing dan terpaksa gulung tikar. Dalam masa yang sama, meminimakan persaingan dan pilihan yang lebih baik.

Sebab itu, perkara ini dilarang keras didalam Islam. Firman Allah SWT :

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” [Surah Al-Hashr, Ayat 7]

PENUTUP

Pelenturan semula konsep pendapatan menerusi pembahagian rezeki ini sebenarnya satu wacana baru dalam membina masyarakat kaya yang beriman.

Anjuran yang diletakkan dalam konsep pembahagian pendapatan menerusi pembahagian rezeki ini adalah pengaturan tenaga dan kemampuan masyarakat dengan sebaiknya bagi pembangunan negara di samping melahirkan golongan manusia yang mengetahui cara menggunakan harta dan kewangan dengan sebaiknya sebagai sumber untuk menjalankan urusan seharian.

Tindakan menafkahkan rezeki kepada golongan yang memerlukan juga perlu dibentuk dengan cara menyediakan pekerjaan dengan tujuan agar terbukanya sumber nafkah dan rezeki buat mereka.

Justeru, jika sudut pandang berikut dibentuk dalam ranah budaya dan masyarakat di Malaysia secara praktis khususnya dalam lapangan ekonomi, sudah pasti masalah pengangguran boleh diuruskan dengan baik. – HARAKAHDAILY 17/1/2018