RM10 juta habis, pasar belum kelihatan

SEBANYAK RM10 juta telah habis dibelanjakan kerajaan untuk penyediaan tapak, namun cadangan pembinaan pasar borong Negeri Terengganu di Bukit Payong, Marang belum kelihatan.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan Umno Terengganu sebelum ini mendakwa peruntukan sebanyak RM50 juta telah diagihkan untuk menyiapkannya.

“Kerajaan berkali-kali melalui Exconya pernah menyatakan kerajaan memperuntukkan RM50 juta tapi sehingga hari ini hampir kepada pilihan raya, pasar ini belum dapat dibina dan disiapkan,” ujarnya yang juga Adun Bukit Payong.

Belaiu berkata deikian ketika meninjau kawasan tersebut yang terletak di tepi susur keluar Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Batu 9, Bukit Payong, baru-baru ini.

Beliau menjangka ‘janji kerajaan’ Barisan Nasional (BN) itu tidak akan dapat ditunaikan kerana lokasi tersebut sudah tidak sesuai lagi.

“Suasana dan keadaan tidak sesuai lagi di tepi LPT, tidak ada laluan jalan keluar masuk untuk pengangkutan (lori) barangan pasar,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Katanya, tapak tersebut lebih sesuai untuk dibangunkan pusat pendidikan, sekolah atau madrasah untuk rakyat.

Selain itu menurutnya, jumlah peruntukan yang dinyatakan kerajaan sudah tidak relevan lagi dibandingkan dengan kos projek-projek pembangunan masa kini.

“Jumlah (itu) sudah tentu merupakan jumlah yang sedikit kalau nak dibandingkan kerajaan telah menghabiskan duit di Taman Ilmu yang terbengkalai.

“Zon Bebas Cukai yang besar perbelanjaannya termasuk (pembangunan) Bandar Baru Kijal yang kini tidak bermaya, mini zoo perbelanjaan yang begitu besar.

“Peruntukan RM50 juta itu adalah jumlah yang sedikit untuk menyiapkan pembinaan pasar borong ini,” tegasnya.

Justeru itu, beliau mengajak rakyat negeri itu menilai prestasi kerajaan BN yang sering berjanji tetapi memungkirinya.

“Inilah keadaan tanah ini yang terbiar bertahun-tahun lamanya dan rakyat boleh menilai kerajaan Barisan Nasional setiap kali berjanji,

“Datang janji, datang janji sehingga kini mereka belum menunaikan janji mereka,” katanya lagi.

pasar1