Gagasan Sejahtera mampu pupuk persamaan antara kaum

KOTA TINGGI: PAS Kawasan Tenggara telah menganjurkan Majlis Makan Malam Gagasan Sejahtera bertujuan menjana dana pilihan raya yang diadakan di Dewan Chon Moi, di sini semalam.
 
Pada majlis dihadiri sekitar 400 tetamu itu turut menyaksikan pelancaran Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (KERABAT) Johor oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau dalam ucapan pada majlis itu menyeru kesatuan dengan semua pihak perlu mengambil sikap mengecilkan perbezaan, sebaliknya membesarkan nilai persamaan untuk mencari titik bersama antara kaum.
 
“Kita ada perkara yang berbeza seperti akidah, perkara yang berbeza perlu dihormati. Kita perlu besarkan persamaan supaya kita dapatkan titik pertemuan dalam membina negara Malaysia,” ujar beliau.
 
Jelasnya, persamaan antara kaum itu mampu dipupuk menerusi pelbagai medium penerangan yang dimanfaatkan, terutama mengenai Gagasan Sejahtera ke arah menerajui arena politik semasa.
 
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Ikatan, Dato’ Seri Mohd Baderi Abd Rahman; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; Penolong Setiausaha Berjasa, Abd Aziz Sardan dan panel dialog iaitu Pengerusi Cina Muslim Malaysia, Dr Ann Wan Seng. – HARAKAHDAILY 19/1/2018
Advertisement