UMMAH siap anjur himpunan mega umat Melayu-Islam

KUALA LUMPUR: Satu lagi himpunan mega gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik berteraskan Islam dan Melayu, serta individu prihatin masalah umat Melayu-Islam akan diadakan selepas pasca jelajah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di seluruh negara.
 
Penolong Sekretariat UMMAH, Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan tersebut diadakan sebagai susulan maklum balas yang baik hasil daripada Konvensyen Kebangkitan Ummah yang diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini Sabtu lalu.
 
“Hasil himpunan Konvensyen Kebangkitan Ummah itu kita terus mendapat sambutan daripada NGO-NGO di peringkat negeri-negeri. Maka kita memutuskan untuk melaksanakan mengadakan satu lagi himpunan besar yang namanya belum lagi diputuskan.
 
“Insya-Allah, himpunan ini akan diadakan pada bulan Mac yang matlamatnya menggabungkan seluruh umat Islam di seluruh Malaysia dan insya-Allah ia akan diadakan di Kuala Lumpur,” katanya selepas sidang media Pasca Konvenysen Kebangkitan Ummah di pejabat NGO Muafakat semalam.
 
Tambah beliau lagi, kehadiran kali ini adalah terbuka kepada seluruh umat Islam-Melayu tidak kira parti politik, NGO dan sebagainya bagi menyatakan kebersamaan untuk menunjukkan solidariti umat Islam di  Malaysia. – HARAKAHDAILY 18/1/2018
Advertisement