Gesa baik pulih segera Lebuh Raya Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri Johor dan agensi berwajib berkaitan diminta untuk segera menyelesaikan isu keselamatan jalan raya disebabkan oleh struktur Lebuh Raya Pasir Gudang yang rosak teruk.
 
Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor, Abd Aziz Abdullah berkata, telah banyak kemalangan termasuk melibatkan kematian berlaku terutama penunggang motosikal berpunca fizikal lebuh raya itu.
 
Menurutnya, keadaan lebuh raya tersebut bukan sahaja tidak berkualiti, malah difahamkan berlingkar dengan pelbagai masalah penyelenggaraan lain antaranya kontraktor membuat baik pulih tanpa pemantauan.
 
Selain itu katanya, sistem perparitan di sepanjang lebuh raya itu juga tidak terurus dan kerja pelebaran kerap kali tergendala atau tertangguh, selain ketiadaan lampu menyebabkan keadaan gelap yang membahayakan.
 
Beliau juga kesal kerana terlalu banyak kenderaan berat melebihi muatan melalui lebuh raya itu dengan kelajuan tinggi tanpa mendapat penguatkuasaan pihak sepatutnya.
 
Dalam tinjauannya bersama PAS Kawasan Pasir Gudang kelmarin, Abd Aziz sempat mendapatkan reaksi beberapa pengguna yang melalui lebuh raya tersebut dan menunjukkan struktur-struktur ‘maut’ di situ.
 
Turut sama dalam tinjauan yang dihadiri pihak media itu ialah Ketua Penerangan PAS Johor, Shamsuddin Jaafar dan Timbalannya, Azman Atmin.
Advertisement