Khidmat M’sia hulur bantuan selepas banjir

KEMAMAN: Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Kemaman sekali lagi turun padang dan bertanya khabar sambil menghulur sumbangan barangan keperluan dapur kepada mangsa banjir sebaik saja bah di daerah itu surut sepenuhnya.
 
Pengarah Khidmat Malaysia Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood berkata, semasa musibah banjir berlaku minggu lalu, pihaknya telah menggerakkan sukarelawan untuk memberi bantuan termasuk memindahkan mangsa banjir ke Pusat Penempatan Sementara.
 
“Pada hari ini, sukarelawan kita sekali lagi menabur bakti dengan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir seramai 600 keluarga di sekitar Pengkalan Pandan, Kampung Tempurung, Pulau Tempurung dan Kampung Bukit Mentok.
 
“Hasil sumbangan orang ramai, badan korporat serta kutipan tabung bencana yang telah digerakkan sebelum ini, dapat memudahkan urusan membantu mangsa banjir kali ini. Hampir RM30,000 telah dibelanjakan bagi memastikan misi agihan sumbangan ini dapat dijayakan sepenuhnya.
 
“Baru-baru ini juga, apabila air banjir surut dan mangsa balik ke rumah, kita telah menggerakkan ramai sukarelawan membantu mangsa ini membersihkan rumah mereka pula,” katanya ketika program sedang berjalan di sini, kelmarin.
 
Ramlan yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman berkata, beliau percaya bantuan selepas banjir surut juga amat diperlukan kerana bukan perkara mudah untuk membersihkan rumah kesan daripada tragedi.
 
Jelas beliau, antara paling kritikal ialah memulihkan semula keadaan selepas tragedi di mana pihaknya merancang untuk fasa setelah banjir beransur pulih, maka pasukan sukarelawan turun membantu.
 
Turut sama dalam agihan bantuan dan sumbangan itu ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid dan beberapa orang Ahli Jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2018
Advertisement