Meletakkan Islam dalam agenda politik

khalil1

بسم الله الرحمن الرحيم

Advertisement

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا

قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَىٰ

“Dan sesiapa yang membelakangkan peringatan-Ku (iaitu Al-Quranul Karim, yang terkandung di dalamnya hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah untuk mengatur dan mengurus kehidupan manusia di atas dunia ini) maka baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan bangkitkan dia di Hari Akhirat kelak dalam keadaan buta. Lalu dia berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku dahulu melihat, kenapa pada hari ini aku buta?” Lalu Allah S.W.T berfirman kepada dia, “Begitulah ketika datangnya kepada kamu Ayat-ayat Kami, semasa kamu hidup di atas dunia dulu, kamu lupakannya. Maka pada hari ini kamu juga dilupakan”.”
(Taha: 124-126)

Ceramah dan ucapan yang telah disampaikan oleh penceramah-penceramah sebelum daripada saya, mengulas banyak isu-isu semasa yang berlaku khususnya di Negeri Terengganu ini. Bermacam-macam masalah yang dilakukan oleh Kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memerintah negeri Terengganu dengan berbagai-bagai pendedahan-pendedahan yang sentiasa didedahkan oleh banyak pihak. Termasuklah daripada pihak yang berada di bawah kerajaan sendiri seperti Laporan Audit Negara, dan juga daripada pihak-pihak yang tidak puas hati dengan pengurusan dan pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional ini di Terengganu ini.

Yang membazirkan duit rakyat, berlakunya bermacam-macam penyelewengan, salah guna kuasa, ketirisan, sehingga negeri Terengganu yang kaya ini sepatutnya menjadi sebuah negeri yang memberikan kemakmuran kepada rakyat. Tetapi sampai hari ini negeri Terengganu masih lagi digelar negeri kaya rakyat miskin.

Begitulah juga segala masalah-masalah yang berlaku dalam negara kita. Hutang negara makin meningkat, budaya rasuah, salah guna kuasa masih lagi berleluasa. Pembaziran, ketirisan, projek-projek yang melibatkan Felda, yang melibatkan FGV, begitu juga berbagai-bagai kemelut ekonomi yang berlaku sebelum daripada ini yang masih lagi berpanjangan, tidak diselesaikan. Isu Perwaja di negeri Terengganu yang sampai hari ini tidak diselesaikan lagi hutangnya.

Isu yang berkait dengan berbagai-bagai masalah-masalah yang menyebabkan negara kita pada hari ini berdepan dengan suasana yang menyusah dan menyempitkan kehidupan rakyat. Apabila Kerajaan Umno-Barisan Nasional membuat satu dasar dan polisi mengenakan cukai kepada rakyat dengan alasan negara kita berada dalam keadaan terdesak dengan kemelut ekonomi antarabangsa yang berlaku, dengan harga minyak yang turun, dengan pelabur-pelabur yang berdepan dengan berbagai-bagai masalah.

Lalu rakyat dikenakan cukai. Maka berlakulah kesempitan hidup, berlakulah kenaikan harga barang, berlakulah kos sara hidup yang makin tinggi. Di samping kita melihat masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat makin hari makin membimbangkan kita. Jenayah-jenayah bunuh, rompak, pecah rumah, ragut, dadah dan segala. Macam perkara-perkara yang memabukkan, yang meruntuhkan akhlak remaja dan anak muda kita, kesemuanya ini puncanya ialah apa yang disebut oleh Allah dalam ayat yang saya bacakan tadi.

Allah Taala telah sebut, bahawa sesiapa yang membelakangkan peringatan-Ku iaitu Al-Quran, Al-Quran ini Allah Taala turunkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja satu kitab untuk dibaca, tidak orang PAS baca Quran, orang Umno pun baca Quran, alhamdulillah. Tapi Al-Quran ini Allah Taala turunkan untuk kita amalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Bukan sahaja hukum-hakam berkait dengan ibadah, sembahyang, puasa, zakat, haji termasuklah hukum-hakam yang berkait dengan politik, hukum-hakam yang berkait dengan ekonomi, hukum-hakam yang berkait dengan perundangan, Hudud, Qisas, dan lain-lain lagi, Allah Taala yang suruh kita laksana semua dalam kehidupan kita.

Dalam Quran Allah Taala cerita pasal politik. Tapi kita hat baca Quran ini duduk ingat Al-Quran ini hanya sekadar cerita bab sembahyang, bab puasa, bab zakat, bab haji, Al-Quran (juga) cerita pasal politik. Ada satu ayat yang Allah Taala sebut dalam surah al-Hajj, surah Haji, Surah berkait dengan ibadah Haji, tapi Allah Taala sebut tentang politik. Firman Allah:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

“Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka pemerintahan di atas muka bumi ini, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.”
(al-Hajj: 41)

Ayat ini ayat yang berkait dengan politik. Allah Taala sebut dalam surah yang berkait dengan ibadah. Kalau Allah Taala nak ajar kita umat Islam, Quran ini Allah Taala turun bukan sahaja untuk ajar manusia tentang ibadah, tapi juga tentang politik. Tapi hari ini kita melihat sebahagian daripada umat Islam menganggap agenda politik ini adalah agenda yang tak penting. Ikutlah siapa dia nak memerintah pun, hukum-hakam Allah dilaksanakan ataupun tidak dilaksana, ikutlah. Ini sangat bahaya.

Oleh kerana itulah Parti Islam Se-Malaysia PAS bukan sahaja sebuah parti politik yang masuk pilihan raya, tapi PAS adalah merupakan sebuah Gerakan Islam. Kita masuk pilihan raya kita nak kuasa. Kerana apa kita nak kuasa? Kerana kita nak menegakkan hukum-hakam Allah yang Allah Taala perintah.

Sebab itulah masa PAS memerintah sepenggal negeri Terengganu dulu, benda pertama yang kita buat ialah kita lulus di dalam sidang Dewan Undangan Negeri, Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu ialah Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Hat itu yang pertama yang dibuat oleh Kerajaan PAS masa memerintah Terengganu tahun 1999 dulu. Dan kita berjanji kepada rakyat, kalau kita diberikan mandat kembali dalam PRU yang akan datang, kita akan meneruskan agenda untuk memastikan hukum-hakam Allah, hukum-hakam Al-Quran, hukum-hakam yang dilaksanakan oleh Nabi S.A.W ditegakkan di negeri Terengganu kita ini kerana kita nak ajar kepada rakyat bahawa Quran ini bukan sahaja ajar kita tentang ibadah, Quran ini juga ajar kita tentang politik. Itu satu ayat yang kita sebut. Di sana banyak lagi ayat-ayat lain.

Bagi Allah Taala cerita dalam Quran kisah Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul A.M.S kita gak bila baca Quran, kita baca, kita dengar kisah Nabi-nabi dan Rasul-rasul memang sedap, contohnya kisah Nabi Musa, Nabi Musa ini seorang Nabi yang gagah. Orang Melayu kita selalu sebut, gagah ini gagah  Musa. Hat Nabi Musa ini seorang Nabi yang gagah. Allah Taala cerita dalam Quran, disebut dalam Hadis-hadis, paling banyak kisah Nabi Musa ini, dia tampar orang sekali tampar, mati. Ini hebat tak hebat Nabi Musa.

Ada disebut dalam kisah Israiliyyat, barangkali betul, barangkali tak betul. Bila malaikat maut mari nak cabut nyawa Nabi Musa, Nabi Musa tampar malaikat maut. Tapi kita tak sedar, dalam kisah Nabi Musa ini juga, ada perkara-perkara yang berkait dengan politik. Nabi Musa pergi berjumpa dengan Firaun. Adakah Nabi Musa pergi jumpa dengan Firaun jumpa saja-saja, dia minum teh dengan Firaun? Tidak.

Nabi Musa pergi jumpa dengan Firaun, Nabi Musa tegur Firaun, nasihat Firaun. Mu memerintah ini tak betul, mu memerintah ini tak kena, kamu mestilah mentauhidkan Allah, jangan berlaku zalim, jangan menindas Bani Israel. Itu kisah Nabi Musa.

Kalau tengok kisah Nabi-nabi dan Rasul-rasul lain, begitulah juga. Bagimana di sana Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang Allah Taala cerita dalam Quran, memerintah jadi ketua negara, Nabi Daud memerintah jadi ketua negara, diteruskan oleh anaknya Nabi Sulaiman, memerintah jadi ketua negara. Nabi Yusuf A.S jadi Menteri Kewangan, mengurus ekonomi negara Mesir. Dan sudah tentulah Nabi kita Muhammad S.A.W berhijrah daripada Makkah ke Madinah, padahal kalau kita kira baik duduk Makkah je, kerana apa? Di Makkah ada Masjidil Haram, ada Kaabah.

Nabi boleh sembahyang di Masjidil Haram tiap-tiap hari, boleh buat umrah tiap-tiap hari, boleh buat haji tiap-tiap tahun, tapi Nabi berhijrah daripada Makkah pergi ke Madinah kerana apa? Kerana politik. Nabi pergi ke Madinah kerana penduduk Madinah mengizinkan kepada Nabi untuk mendirikan Kerajaan Islam.

Bila didirikan Kerajaan Islam, Nabi boleh menegakkan, melaksanakan hukum-hakam Allah yang Allah Taala suruh. Maka turunlah ayat-ayat yang berkait dengan hukum-hakam jenayah, Hudud dan Qisas. Turunlah ayat-ayat yang berkait dengan macam mana nak bermuamalah dengan orang bukan Islam. Turunlah ayat-ayat yang berkait dengan perang, turunlah ayat-ayat yang berkait dengan bermacam-macam lagi urusan pemerintahan negara, politik.

Apa yang kita sebut dan kita nak ghoyak pentingnya agenda politik yang kita umat Islam kena faham. Yang hari ini malangnya sebahagian daripada umat Islam meminggirkan agenda politik, ikutlah siapa dia nak memerintah asalkan boleh makan, boleh minum, kerja, boleh gaji tiap-tiap bulan sudah. Sama ada orang nak memerintah ini, nak memerintah ikut hukum Allah ataupun nak memerintah tak nak ikut hukum Allah, ikutlah. Jangan.

Kita mestilah letak dalam diri kita agenda politik adalah salah satu agenda yang penting. Sama penting dengan sembahyang kita, sama penting dengan zakat kita, sama penting dengan puasa kita, sama penting dengan haji kita. Kalaulah agenda politik ini agenda yang tak penting, tak akanlah Nabi tinggalkan Makkah pergi ke Madinah? Tak akanlah para Sahabat Nabi, bila wafatnya Nabi S.A.W, mereka terus bermesyuarat tak hadir ke majlis pengebumian Nabi? Bermesyuarat nak lantik siapa dia yang akan gantikan Nabi S.A.W untuk memerintah negara, kerana kepentingan agenda politik.

Ayat-ayat yang saya bacakan tadi adalah satu peringatan kepada kita bersama, untuk kita kembali kepada Allah. Segala macam masalah-masalah yang berlaku dalam negara kita ini, rasuahnya, salah guna kuasanya, budaya kronismanya, ketirisannya, jenayah yang berlaku begitu banyak, keruntuhan akhlak dan moralnya kerana apa? Kerana kita membelakangkan hukum-hakam Allah.

Hat memerintah hari ini, Kerajaan Umno-Barisan Nasional, hat pusat Kerajaan Pusat, hat negeri Terengganu jaga negeri Terengganu, tidak meletakkan agenda Islam dalam pemerintahan. Maknanya memerintah ikut dan, tak ada perkiraan dosa pahala. Yang ada dalam diri hanya untuk memenuhkan hawa nafsu. Sebab itulah beza, beza dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Kita tak nafi di sana ada kelemahan-kelemahan, kalau manusia ini ada kelemahan, tapi kalau kita buat perbandingan, negeri Kelantan dengan negeri-negeri lain yang diperintah oleh Umno-Barisan Nasional, jauh lebih baik negeri Kelantan.

Kerana apa? Kerana negeri Kelantan, kita PAS memerintah, kita menegakkan agenda Islam, memerintah daripada zaman Tok Guru dulu, diteruskan oleh Menteri Besar hari ini Yang Amat Berhormat Ustaz Ahmad Yakob, bila memerintah ada perkiraan dosa pahala.

Duit hat keluar masuk ini duit rakyat, ada tanggungjawab, ada amanah. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita hari ini tak ada perkiraan dosa pahala. Kalau kita kira negara kita ini, yang mempunyai hasil mahsul yang boleh di…., tak perlu lagi kerajaan untuk kutip cukai. Hari ini heboh pasal cukai GST, semua orang duduk bunyi, orang berniaga bunyi, orang kampung bunyi, orang bandar bunyi, kerana ini cukai yang membebankan rakyat, semua rakyat kena cukai.

Pagi tadi ada wartawan hantar mesej kepada saya, dia suruh saya beri komen, dia kata Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak memberikan satu ucapan kelmarin kalau tak silap kepada pesara polis di bangunan PWTC. Perdana Menteri sebut, cuba tengok rakyat Arab Saudi, walaupun negara Arab Saudi kenakan cukai kepada rakyatnya menaikkan harga petroleum, tapi rakyat Arab Saudi tak marah, rakyat Malaysia ini sepatutnya ikut rakyat Arab Saudi. Kalau kita nak buat perbandingan pun, kena buat perbandingan yang adil. Negara Arab Saudi, betul dia kenakan cukai ke atas rakyat dia, hanya 5 peratus, kita GST 6 peratus.

Di negara Arab Saudi, lebuh raya tak ada tol. Kalau kita pergi Makkah, pergi Madinah, daripada Makkah nak pergi ke Madinah, daripada Madinah nak pergi ke Makkah, ada tol tak? Tak ada tol, tak ada tol. Kita (di Malaysia) naik atas lebuh raya, baham tol selalu.

Hat duduk di Kuala Lumpur, pergi jalan sikit tol, jalan sikit tol, jalan sikit tol. Kita nak pergi Kuala Lumpur daripada negeri Terengganu ini sampai ke Kuala Lumpur itu, bayar tol kos dia nak sama tinggi dengan harga minyak. Negara Arab Saudi tak ada tol. Pendidikan di negara Arab Saudi free. Kita nak belajar kena hutang PTPTN. Itu beberapa contoh.

Kerana cukai GST ini adalah satu dasar yang menindas rakyat. Sebab itu kita PAS kita tidak bersetuju. Sepatutnya kerajaan memulihkan ekonomi dalam negara kita ini dengan menggunakan manfaat hasil mahsul dengan sebaik mungkin, bukannya dengan mengenakan cukai ke atas rakyat, kerana GST ini semua rakyat kena, orang bandar, orang luar bandar, orang kampung, orang fakir orang miskin, orang kaya, semua kena cukai. Ini zalim.

Sedangkan hasil mahsul negara kita banyak, hasil petroleum, hasil hutan, bijih-bijih galian, hasil pertanian, kelapa sawit, getah, tapi kerana tangan yang mengurus adalah tangan yang tidak telus, tangan yang tidak amanah, tangan yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan kita sebut, Laporan Audit Negara tiap-tiap tahun menegaskan bagaimana berlakunya ketirisan. Macam mana tak berlaku ketirisan? Projek hat sepatutnya (RM)10 juta, claim (RM)100 juta. Projek hat sepatutnya (RM)5 juta, claim (RM)20 juta.

Contohnya beberapa tahun lepas, bagaimana didedahkan dalam Laporan Audit Negara, Jabatan Penerangan claim jam dinding 300 ringgit harga jam dinding. Hat harga letak sampai setinggi itu, bukan satu, berapa puluh, berapa ratus jam dinding di seluruh negara? Ini ketirisan duit rakyat yang berlaku. Lalu bila kerajaan kata tak ada duit, terpaksa kutip cukai daripada rakyat, buat GST. Ini zalim, kita PAS kita tentang.

Ada satu kisah berlaku dalam sejarah Islam, bila tentera Tartar menyerang Kota Baghdad, membunuh ulama, membakar masjid, menghumban kitab-kitab yang dikarang oleh para ulama dalam sungai, sehingga air sungai bertukar menjadi hitam. Lalu tentera Tartar nak pergi serang pula Mesir, Sultan yang memerintah di Mesir pada ketika itu ialah Sultan Zahir Baybars. Lalu dia mengerahkan umat Islam untuk bangkit bagi menentang tentera Tartar.

Tapi masalahnya duit negara tak cukup. Lalu dia mengeluarkan arahan untuk kutip cukai daripada rakyat kerana nak tampung tentera beli senjata, beli baju besi macam-macam. Maka untuk mengharuskan arahannya, dia pun panggil ulama untuk beri fatwa, ulama beri fatwa boleh ambil cukai daripada rakyat. Tapi seorang ulama bangkit iaitu Sultanul Ulama Al-Izzuddin Bin Abdul Salam dengan tegas beliau mengatakan bahawa haram sama sekali kalau kutip cukai daripada rakyat, sedangkan kamu kaya-raya, Menteri-Menteri kamu kaya-raya, barang-barang dalam istana kamu, kamu, kamu jual yang itu dulu, barang-barang dalam istana-istana, menteri-menteri kamu, kamu jual yang itu dulu. Kalau tak cukup, barulah boleh ambil cukai daripada rakyat.

Ini tidak, apa yang berlaku dalam negara kita, pimpinan Kerajaan Umno-Barisan Nasional kaya-raya. Dia nak tahu kaya tak kaya ini bila berlawan dengan Umno, baru tahu. Tengok apa yang berlaku di Sabah Shafie Apdal. Dia lawan, dia canggah dia, dedah selalu. Berapa guni pitih? SPRM serbu di Sabah. Itu baru seorang, tak tambah lagi Menteri-Menteri lain, yang terdedah. Yang tak terdedah, tak tahulah banyak mana. Jadi apa yang berlaku dalam negara kita, Kerajaan Umno-Barisan Nasional mendahulukan rakyat dulu kutip cukai. Ini betul “Rakyat Didahulukan” rakyat kena katok dulu, rakyat kena hisap darah dulu.

Sepatutnya sebelum kutip cukai daripada rakyat ini, kena ambil dulu kekayaan-kekayaan yang dimiliki oleh negara yang dibelanjakan dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah, diambil yang itu dulu, dijual. Kalau ….. boleh jual. Kalau tak cukup juga, baru boleh fikir cara yang berikutnya. Ini tidak, rakyat didahulukan dulu, rakyat kena dulu. Kita pula tak mahu sedar-sedar. Jadi benda-benda begini, kita kena beringat. Sebab itulah Allah Taala beri amaran dalam ayat yang saya bacakan tadi, dalam kita membicarakan soal masalah ekonomi, soal pelaburan, soal macam-macam, kita sebagai orang Islam, tak kira orang PAS orang Umno, kita baca Quran, rujuk Quran, Allah Taala sebut dah, ini penyakit ini.

Sebab kalau membelakangkan peringatan itu, Quran itu, hukum-hakam itu, hat Aku suruh mu tak buat, mu memerintah tapi tak ada perkiraan dosa pahala, tak ada amanah, tak ada tanggungjawab, agama tak jaga, hak orang Islam tak jaga. Hat jaga itu tak apalah, moleklah hat jaga itu, buat masjidnya, buat suraunya, buat pejabat agamanya, bab itu boleh ….., tapi di sana banyak lagi benda-benda yang tak terjaga.

Sepatutnya Islam yang diletakkan dalam perlembagaan kita sebagai agama negara mesti diperkasakan. Umno memerintah negara kita daripada merdeka sampai hari ini, tapi Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret.

Sebab itu kita bawa RUU 355 dalam Parlimen kerana nak perkasakan Mahkamah Syariah. Malu kita. Islam agama negara, tapi mahkamah yang nak hukum orang, kesalahan berkait dengan hukum-hakam syarak, hukum-hakam Islam lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Sepatutnya Umno sudah selesai benda ini, sebab Umno memerintah negara kita daripada merdeka lagi Umno tak boleh selesai. Kita bawa dan bentang dalam Parlimen, belum lagi dibahaskan.

Jadi bila kita bercakap, kita dedah, kita bukan nak caci nak hina. Ada orang kata, PAS ini kata kepada orang-orang Umno macam-macam, tidak, kita tak bermusuh dengan orang Umno. Orang-orang Umno ini anak beranak kita, kawan-kawan kita, sahabat handai kita, jiran tetangga kita. Yang kita marahnya ialah pemimpin-pemimpin Umno yang buat dasar, yang buat polisi …., silap, hat ini hat kita marah. Kita tegur cara baik, kita nasihat cara molek.

Kerana inilah ruang dalam demokrasi pilihan raya negara kita. Kita bukan hanya buat cara-cara yang tidak elok, melanggar undang-undang, tidak. Benda yang kita buat ini kerana kita sayang. Kita cerita kepada negara kita, kita nak selamatkan negara kita. Ada orang anggap sayang kepada orang ini kena puji dia, kena sanjung dia, ini salah. Antara cara kita sayang, kita kasih kepada seseorang ialah kita tegur, kita nasihat, ini peranan yang dimainkan oleh PAS sebagai sebuah parti pembangkang. Sebab itulah kita ulang, kita ini tak bangkang semua benda.

Ada parti pembangkang itu nak bangkang semua benda. Kita tidak, benda yang baik kita sokong, benda yang tak baik kita lawan, kita nasihat, kita tegur. Ini pendirian PAS. Sebab itulah kita tak marah kalau Umno-Barisan Nasional nak buat pembangunan, ini hak rakyat, kita tak bangkang.

Dan kita marah ini sepatutnya pembangunan ini lebih lagi dengan kekayaan yang ada dalam negara kita ini. Kalau di negeri Terengganu ini, dengan kekayaan yang ada di negeri Terengganu ini, sepatutnya lebih lagi, sepatutnya negeri Terengganu ini orang nak gelar negeri Terengganu ini rakyat miskin. Negeri Terengganu ini negeri kaya, petroleum berapa puluh tahun hasil petroleum? Tapi apa yang Umno buat? Molek-molek boleh petroleum, bawa usul dalam sidang Umno, siapa bawa? Pemimpin Umno bawa usul untuk tarik royalti daripada Kerajaan Pusat kepada negeri Terengganu. Ini khianatnya pemimpin-pemimpin Umno kepada rakyat negeri Terengganu. Sedangkan royalti ini hak rakyat.

Saya tertarik dengan satu isu hat berlaku dalam sehari dua inilah, bila Tun Mahathir, dia keluar kenyataan, dia kata PAS ini nak siapa dia jadi Perdana Menteri? Nak Najib ke nak siapa jadi Perdana Menteri? Kita nak sebut mudah je, kita Malaysia ini cara pilihan raya kita bukan pilihan raya nak pilih Presiden, bukan pilihan raya nak pilih Perdana Menteri, dah duduk sibuk sangat siapa dia calon Presiden, calon Perdana Menteri, buat apa? Kita bukan macam Amerika, Amerika ini sistem dia pilihan raya pilih Presiden. Kita tidak, kita bukan nak pilih Perdana Menteri.

Oleh kerana itulah kita sebut dengan jelas, yang penting kepada kita bukan orang, yang penting kepada kita ialah ciri-ciri dan sifat-sifat. Ada setengah orang itu duduk sibuk ke orang. Dulu marah ke Mahathir, ….. marah, siap tunjuk dalam kamera begini. Tunjuk dalam kamera, marah ke Mahathir, hari ini dia duduk ikut sungguh Mahathir. Kata ke Mahathir macam-macam, bila keluar Mahathir, naik Tun Abdullah Badawi, sama juga. Turun Tun Abdullah Badawi, naik Najib, sama juga. Sebab itulah masalah kita bukan masalah individu.

Ada saya pergi satu program tahun lepas, program dialog. Ada seorang pakcik ini bangun tanya saya, dia kata ustaz, saya nak tanya, Mahathir dengan Najib ini mana _se_ hat jahat? Saya kata, kita PAS ini bukan nak hukum orang hat ini jahat, hat ini lagi jahat, hat ini zalim, hat ini lagi zalim, itu bukan kerja PAS. Kerja kita ialah untuk penuh konsisten tukar dasar, tukar polisi daripada tak baik kepada baik, daripada tak Islam kepada Islam, daripada hat Islam itu, nak hat comel lagi.

Kerja kita bukan nak tukar orang. Sebab itulah bila kita bercakap, siapa dia calon Perdana Menteri? Orang tak penting, yang pentingnya ialah ciri-ciri, sifat-sifat. Yang pertama sekali mestilah seorang Islam, itu yang pertama. Kerana apa? Kerana negara kita ini meletakkan Islam sebagai agama negara. Sampai hari ini tidak ada dalam perlembagaan, Perdana Menteri mestilah seorang Islam, tak ada. Ini kena ingat.

Pemimpin-pemimpin Umno yang kata nak bela agama, daripada Umno memerintah sejak merdeka sampai hari ini, Umno tak boleh ubah perlembagaan, meletakkan Perdana Menteri mestilah seorang Islam. Ini gagal dibawa. Sebab itulah kita PAS kita letak ciri yang pertama mestilah seorang Islam. Yang kedua mestilah seorang Melayu.

Ada pula orang kata orang PAS ini orang macam Parti Kebangsaan lebih daripada Umno pula duduk bercakap bangsa Melayu. Dah Cina macam mana? India macam mana? Kaum-kaum bangsa dalam negara kita juga? Kita kata kita dengan Umno berbeza bila bercakap pasal Melayu. Kita PAS ini bercakap pasal Melayu kita nak selamatkan Melayu dengan Islam. Umno bercakap pasal Melayu, tapi letak Melayu depan. Kita letak Islam dulu depan, kita nak selamatkan Melayu dengan Islam, dan tak salah bila kita bercakap pasal bangsa dan kaum, tak salah. Yang salahnya kita taksub, kita menzalimi kaum dan bangsa lain, hatini salah. Kita PAS kita tak buat begitu. Sebab itulah kalau kita tengok dalam Quran, Allah Taala cerita kisah Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul A.M.S, kisah Nabi Luth sebagai contoh:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ

Kisah Nabi Soleh A.S. Kisah Nabi Hud,

(al-Ahqaf: 21)

وَاذْكُرْ أَخَا عَادٍ إِذْ أَنْذَرَ قَوْمَهُ
(al-A‘raf: 80)

Kisah Nabi Soleh….. Allah Taala sebut kisah Nabi-Nabi ini. Nabi Luth beritahu hei kaumku. Nabi Hud beritahu hei kaumku. Nabi Soleh beritahu, hei kaumku.

Apa salahnya bila kita PAS, kita kata, seorang Perdana Menteri yang kita nak dalam negara kita salah satu ciri-cirinya mestilah seorang Melayu? Kerana bangsa Melayu ialah bangsa yang paling majoriti dalam negara kita dan bangsa yang bermastautin yang menetap dalam negara kita. Bangsa-bangsa lain mari berhijrah di sini. Kita yang tinggal di bumi Melayu ini.

Bila kita sebut Melayu kita tak taksub. Sebab itu kita tak menzalimi kaum dan bangsa lain. Orang Cina, orang India, mereka boleh hidup dengan aman sejahtera. Bila berlaku peristiwa 13 Mei dulu, kekacauan berlaku di negeri-negeri yang diperintah oleh Umno-Barisan Nasional. Di Kelantan tak berlaku, tak berlaku di Kelantan. Masa itu PAS memerintah.

Ciri yang ketiga, mestilah seorang yang adil. Adil di sini sangat luas, antaranya ialah seorang yang amanah, bukan Parti Amanah, hat itu karut, nama je Amanah, tapi khianat. Khianat kepada perjuangan, khianat kepada janji, khianat kepada macam-macam. Hari ini Allah Taala tunjuk duduk ikut punggung DAP, duduk ikut punggung DAP dia.

Mestilah seorang yang adil. Maknanya seorang yang amanah bertanggungjawab, amanah kepada agama, amanah kepada negara, amanah kepada harta rakyat, yang ini yang kita nak. Sebab itulah bagi kita tak timbul kita nak letak siapa-siapa dia calon Perdana Menteri kerana individu tidak penting, yang pentingnya ialah ciri-ciri, sifat-sifat itu mesti ada.

Yang terakhirnya saya nak sebut kepada muslimin dan muslimat sekalian, kita semua tahu kita akan berdepan dengan PRU yang ke-14 yang akan tiba pada bila-bila masa. Pilihan raya ini adalah satu medan, satu medan untuk kita buat perubahan. Jangan kita ingat undi kita se je. Tak apa lah tak pergi mengundi pun, jangan. Kalau dalam sistem demokrasi pilihan raya, satu undi ini memainkan peranan menang dan kalahnya satu-satu calon dan satu-satu parti.

Besarnya kedudukan pilihan raya ini kepada Islam sehingga ia boleh menentukan dosa dan pahala. Nabi sebut dalam satu Hadis, kalau kita tengok paku kaca duduk tengah jalan, kita pun ambil buang sebab takut dipijak oleh orang, luka. Nabi kata, ini sebahagian daripada cabang-cabang iman, boleh pahala orang yang buang. Kalaulah kita buang batu kaca tengah jalan boleh pahala, tak akan lah kita keluar mengundi kita pilih calon, kita pilih parti yang nak laksanakan Islam, yang nak buat kebaikan, yang nak tolong orang, yang nak bantu orang, yang sayangkan kepada negara kita, yang nak buat lebih baik kepada negara kita, tak akanlah tidak diberikan pahala oleh Allah? Kita fikir secara logik begitu.

Sedangkan pilihan raya ini benda besar kita nak pilih calon, kita nak pilih parti, parti mana hat kita pilih, kita tengok, tengok dasar dia, tengok apa tawaran dia, tengok sejarah dia. Oleh kerana itulah kita kena buat pilihan yang betul dan tepat. Bagi kita PAS kita menyatakan kita PAS adalah parti yang terbaik. Kita tak nafi Umno pun ada juga buat benda baik, banyak, Umno buat kerja baik, pembangunannya, kemajuannya banyak, tetapi kita PAS menyatakan bahawa sepatutnya boleh buat lebih lagi. Sebab itulah kita PAS menawarkan tawaran-tawaran yang nak kita beri kepada rakyat, kita nak jaga agamanya, kita nak jaga ekonominya, kita nak jaga kebajikan rakyatnya khsusnya orang-orang muda.

Kerana orang-orang muda adalah generasi yang paling besar yang akan meneruskan kesinambungan dalam negeri Terengganu ini, dan negara kita secara umum. Jadi marilah sama-sama kita meletakkan satu azam dalam diri kita PRU yang akan datang ini kita sama-sama buat perubahan insya-Allah. Hat yang PAS dah ini terus istiqamah dengan PAS-lah, cuma kita nak ajak anak beranak kita, kawan-kawan kita, sahabat handai kita hat dalam Umno itu supaya bersama-sama dengan kita juga. Kerana kita nak buat agenda yang besar di negeri Terengganu kita ini. Nak teruskan agenda Islamnya, tapak kita letak dah, tapi kita nak terus lagi, nak buat kebajikan lebih lagi, nak jaga ekonomi dia luas lagi, insya-Allah kita sama-sama buat perubahan.

(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Ceramah Perdana Ambang PRU14 oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia pada 17 Januari 2018 di Tapak Pasar Malam Bandar Marang, Marang) – HARAKAHDAILY 20/1/2018