Terima permohonan keahlian dari bekas pimpinan PKR

PARIT SULONG: PAS Kawasan Parit Sulong menerima permohonan keahlian daripada bekas Ahli Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor, Abdul Aziz Muhammad yang menyerahkan borangnya semalam.
 
Penyerahan itu diterima langsung oleh Timbalan Presiden, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sempena kuliah Maghribnya di Markas PAS Parit Pulai, di situ.
 
Dalam kuliahnya itu, beliau menitipkan ingatan bahawa perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam menyambung usaha dilaksanakan para Rasul terdahulu.
 
Sehubungan itu katanya, sebagai ahli perjuangan Islam pasti tidak akan terlepas menerima ujian sebagaimana dialami para Rasul dan golongan yang bersama mereka.
 
“Tetapi ujian ke atas para Rasul dan Sahabat lebih mencabar. Ada orang yang tahan diuji harta dan pangkat, namun tewas dengan ujian wanita. 
 
“Ada yang tahan diuji dengan wanita dan harta, namun tewas dengan ujian pangkat,” ujar beliau yang turut menyentuh isu semasa negara.
 
Menurutnya, Malaysia sekarang menjadi teruk kerana dasar di mana usaha menukar pemerintah tanpa mengubah dasar tidak akan membawa sebarang pembaharuan.
 
Kerana itu tegasnya, PAS sentiasa istiqamah untuk meletakkan dasar al-Quran dan as-Sunnah dalam pemerintahan dan yakin ia sebagai penyelesaian terhadap segala masalah.
 
Sementara itu, Abdul Aziz yang juga bekas Ketua Cabang PKR Bakri ketika mengulas permohonannya itu berkata, kecenderungannya memilih PAS kerana tertarik dengan maksud ayat 59 surah an-Nisa’.
 
Bekas calon PKR N.14 Dun Bukit Naning itu menyifatkan perjuangan PAS selari pengertian ayat tersebut yang menegaskan seruan kembali kepada Allah dan Rasul.
 
Beliau juga memaklumkan keyakinan bahawa PAS mampu memenangi 23 Dun Johor dan 63 Parlimen seluruh negara pada PRU14 nanti berdasarkan analisis oleh pihak PKR. – HARAKAHDAILY 20/1/2018
Advertisement