Menangkan PAS supaya Islam memerintah

KUALA KRAU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru rakyat Malaysia kembali kepada Islam dan memulakan langkah memenangkan PAS supaya dapat menegakkan Islam di negara ini.
 
Perkara itu diutarakannya ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Pahang, Fastaqim 2.3 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini semalam.
 
Menurut beliau, unik sekali Islam ialah satu-satunya agama yang memberi perhatian kepada politik di mana tidak ada agama lain memberi petunjuk cara berpolitik.  
 
Jelasnya, apabila Allah mencipta Adam sebagai khalifah di muka bumi, Dia juga menjadikan Rasul dan kitab untuk memberi petunjuk dan panduan yang mesti dipatuhi ketika memerintah umat manusia. 
 
Terang Tuan Guru, bermakna Nabi dan Rasul dihantar untuk mengajak manusia supaya mematuhi Allah dan memerintah dengan petunjuk Allah yang menyaksikan Islam berjaya memerintah di serata pelusuk dunia.
 
Katanya, pemerintahan Islam berlangsung dengan berkesan walaupun dalam keadaan masyarakat yang majmuk, namun malangnya ada kaum yang dengki dan berusaha menjatuhkan Kerajaan Islam. 
 
“Sebagai bukti itulah yang menyebabkan jatuhnya Melaka, jatuh Kerajaan Islam India, Andalusia kemudian Kerajaan Uthmaniyah. Orang yang membenci Islam ini sedar, selagi ada al-Quran, sembahyang Jumaat didirikan, dan ibadah haji di Makkah, Islam tidak akan dapat dihapuskan.
 
“Maka mereka melakukan berbagai strategi melemahkan Islam. Anak Melayu yang mendapat pendidikan di Makkah telah menubuhkan Gerakan Islam yang diharamkan oleh British sebaik penubuhannya. Tetapi akhirnya PAS berjaya juga ditubuhkan pada 1951. 
 
“Malangnya ada org Melayu yang jahil agama, mengaji al-Quran tetapi tidak tahu makna sehingga ada yang menghina hukum Islam; busuk sungai akibat potong tangan, kata mereka,” bidasnya.
 
Melanjutkan ceramah katanya, pertembungan pemikiran antara yang faham agama dengan jahil berterusan selepas Merdeka sehingga tahun 1969 apabila berlaku peristiwa 13 Mei.
 
Barulah ketika itu maklumnya, Islam hendak dibawa ke dalam pemerintahan dan PAS masuk menyertai kerajaan kerana mahu kerajaan kembali kepada Islam, namun selepas BN mempunyai kedudukan yang kukuh, PAS ditendang keluar. 
 
Setelah itu ujarnya, BN terus meminggirkan syariat Islam dan kemuncaknya berlakulah peristiwa Memali di mana mereka tetap dengan dasar yang tidak mematuhi Islam. 
 
“Jika mereka tidak mahu kepada Islam biarlah PAS yang memimpin negara. Tugas kita ialah untuk mengajak orang supaya keluar memenangkan Islam. 
 
“Jika kamu tidak keluar memenangkan Islam, Allah akan menyeksa kamu di akhirat,” ujarnya mahu petugas PAS komited berdakwah dan berusaha memenangkan PAS.
 
Menurutnya lagi, terdapat kumpulan lain juga begitu berminat untuk memerintah negara, tetapi bertelagah dan berebut dalam menentukan calon yang akan menjadi Perdana Menteri, sedangkan bagi PAS itu adalah ketentuan Allah.
 
Katanya, pilihan raya adalah sistem yang boleh memelihara hubungan antara kaum, sedangkan perang walaupun satu cara untuk memperolehi kuasa, tetapi sebagai cara terakhir, tetapi Islam mendahulukan perdamaian. 
 
Maklumnya, ada negara Arab memilih berperang walaupun terpaksa berlawan sama sendiri, tetapi sebaliknya PAS tetap pilih demokrasi dan memasuki pilihan raya yang dijalankan di negara ini. 
 
“Kalau Islam menang, di situ ada pahala tetapi jika Islam kalah, di situ ada dosa. PAS masih memimpin Kelantan dan pernah memimpin Terengganu dan Kedah, kejayaan yang kita perolehi ialah pemerintahan yang bersih. 
 
“Kerajaan PAS berterusan didiskriminasi. Negeri Kelantan pernah diugut supaya tidak melaksanakan hudud dan Terengganu pula ada hasil minyak tetapi dirampas dari negeri. Orang yang melakukan tindakan itu masih menawarkan diri untuk kembali berkuasa,” ujarnya mengingatkan. – HARAKAHDAILY 21/1/2018
Advertisement