Seruan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Hilmi Yahya mengesahkan terdapat kira-kira 40,000 dari 270,000 kakitangan Kementerian Kesihatan yang belum lagi mendaftar sebagai pemilih.
 
Jumlah yang belum mendaftar ini satu angka yang sangat besar dan tindakan segera perlu diambil agar kakitangan berkenaan dapat menggunakan hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Rugi kalau hak ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.
 
Daftarlah sebagai pengundi dan jangan takut untuk undi PAS. Bila kakitangan kerajaan tak undi BN, belum tentu anda semua hilang kerja. Tapi kalau rakyat undi PAS, pastinya Pak Menteri boleh hilang kerja. Rakyat adalah raja dalam sistem demokrasi. Mereka yang berkuasa boleh berada di atas kerana undi kita.
 
Saya juga sangat bersetuju dengan gesaan Timbalan Menteri Kesihatan supaya kakitangan kerajaan menyokong kerajaan. Ini adalah suatu kemestian. Kakitangan kerajaan mesti mempunyai ketaatan dan kepatuhan kepada pihak kerajaan sebagai majikan. 
 
Tapi saya tak bersetuju kalau istilah menyokong kerajaan difahami dengan makna menyokong Umno/BN. Ini adalah kesilapan pemahaman sejak berzaman sehingga Umno menganggap merekalah kerajaan dan kerajaan adalah mereka lalu semua harta kerajaan adalah harta Umno. Lawan Umno bermakna lawan kerajaan. ‘Ajaran sesat’ ini banyak berlegar dalam masyarakat dan menjadi jembalang yang menghantui rakyat sejak sekian lama. 
 
PAS masuk pilihan raya bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Yang kita nak tukar ialah parti pemerintah BN. Nak tukar kerajaan adalah satu ungkapan yang boleh menimbulkan kerisauan rakyat kerana mereka beranggapan suatu suasana tidak tenteram akan berlaku apabila kerajaan bertukar.
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat
21 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 21/1/2018
Advertisement