Fastaqim 2.4 bukti kekuatan Jentera PAS Selangor

SHAH ALAM: Walaupun lokasi program terpaksa ditukar, namun Himpunan Jentera Pilihan Raya Fastaqim 2.4 PAS Selangor telah berjaya mengumpulkan hampir 10,000 peserta mewakili 22 PAS Kawasan negeri itu.
 
Malah, program itu juga menarik penyertaan awam dari pelbagai kaum dan umur sebagai menyatakan sokongan bersama PAS pada program yang berlangsung di Stadium Sukan Seksyen 17, di sini kelmarin.
 
Ia sekali gus menzahirkan kekuatan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor menuju gerbang PRU14 di mana himpunan itu telah dirasmikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan kemuncaknya oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Beliau dalam amanat disampaikannya menegaskan kepada jentera betapa PAS istiqamah dengan pendekatan _Muwajahah Silmiyah_ untuk memenangi suasana politik negara menerusi pilihan raya.
 
Terangnya, pendekatan secara damai itu didahulukan Islam dalam mendepani musuh dan seharusnya konflik terjadi di Asia Barat hingga berperang dan berbunuhan sesama Islam menjadi pengajaran.
 
Beliau turut menyeru semua pihak terutama generasi muda mengambil penting urusan mendaftarkan diri sebagai pemilih agar layak mengundi dengan membawa kisah musyawarah Sahabat di Thaqifah Bani Saadah. – HARAKAHDAILY 23/1/2018
Advertisement