Peringatan kedua: Jangan naikkan kadar faedah

MAZLI

JAWATANKUASA Polisi Kewangan (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermesyuarat pada hari Rabu 24 Januari 2018. Antara topik hangat yang ditunggu oleh pasaran dan penganalisa adalah sama ada MPC akan menaikkan kadar faedah untuk Malaysia, bersesuaian dengan pertumbuhan ekonomi sekarang, sebagaimana yang telah dilaporkan. Sekiranya berlaku kenaikan Kadar Faedah Semalaman (OPR), ianya akan berkuatkuasa pada hari Khamis 25 Januari 2018.

Advertisement

Berkaitan dengan spekulasi kenaikan OPR ini, PAS telah pun menyatakan dengan tegas pandangan dan gesaan kami bahawa berdasarkan senario pasaran dan ekonomi Malaysia sekarang, kadar faedah tidak harus dinaikkan. Melalui kenyataan Lujnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat pada 21 November 2017 lalu, antara lain kami menegaskan beberapa faktor yang perlu BNM ambil kira untuk tidak menaikkan kadar faedah iaitu data isi rumah Malaysia yang masih tidak stabil, petunjuk ekonomi Malaysia yang juga semakin merosot sebagai contohnya suasana pasaran hartanah yang makin lembab dan menuju kejatuhan, parameter bank iaitu Nisbah Pinjaman Deposit (LDR) yang tinggi melebihi 90% dan kadar simpanan rakyat Malaysia yang amat rendah.

Walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah baik terutama untuk 4 suku tahunan yang terakhir, yang mana akan mencetuskan tekanan inflasi, namun PAS berpandangan faktor kos sara hidup adalah elemen yang amat penting yang perlu diambil kira sebelum memutuskan sebarang kenaikan OPR. Ini adalah kerana kebarangkalian tinggi bahawa sebarang tekanan inflasi yang berlaku adalah dicetuskan oleh kenaikan kos yang bersifat sementara dan akan menuju normalisasi. Oleh itu untuk mempastikan tiada tindakan pra-matang oleh BNM yang bakal merencat pasaran dan membebankan pengguna, sebagaimana kenyataan kami yang terdahulu, PAS menyarankan OPR dikekalkan sehingga sekurang-kurangnya Suku Ketiga 2018.

Walaupun tidak dinafikan bahawa kenaikan OPR mampu menggalakkan tabungan, namun dalam suasana pasaran sebagaimana yang kami jelaskan terutama trend LDR, maka sepatutnya pengguna diberikan ruang bertenang ke arah normalisasi sebelum diketatkan dan ditekan dengan kenaikan OPR.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
6 Jamadil Akhir 1439 / 23 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 23/1/2018