Kerusi Parlimen: PAN sudah telan kata-kata sendiri?

KITA akan menang semua, dapat kerusi gred A, kata PAN selepas dapat kerusi paling sikit”, inilah tajuk laporan portal berita Malaysia Date Line tulisan Arif Atan pada 7 Januari 2018 bila PAN diumumkan hanya diberikan 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada hari itu. Laporan portal berita ini memetik Presiden PAN, Mohamad Sabu, sebagai berkata beliau “yakin akan memenangi kesemua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada PAN pada Pilihan Raya Umum ke-14  nanti” selain memetik Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, sebagai berkata “kerusi yang PAN dapat adalah kerusi yang berpotensi tinggi boleh menang”.
 
Alih-alih semalam, 23 Januari 2018, portal berita The Malaysian Insight, dalam laporan yang ditulis oleh Zulkifli Sulong, memetik “sumber PAN” sebagai memaklumkan bahawa “mereka hampir selesai mengkaji kesemua 27 kerusi Parlimen yang akan ditandingi PAN” di mana “daripada 27 kerusi yang diperolehi PAN, mereka meletakkan enam kerusi di gred A, 16 di gred B manakala lima kerusi di gred C dan D”.
 
Ke mana perginya kata-kata Presiden PAN dan Pengarah Komunikasi PAN sebelum ini bahawa PAN yakin akan memenangi kesemua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepadanya kerana kesemua 27 kerusi Parlimen ini adalah “kerusi gred A”?
 
Kenapa sekarang, setelah dua minggu agihan kerusi ini diumumkan, baru disebut bahawa sebenarnya bukan kesemua 27 kerusi Parlimen PAN ini adalah “kerusi gred A”, tetapi hanya enam kerusi sahaja “kerusi gred A” manakala 21 kerusi lagi “kerusi gred B, C dan D”?
 
Inilah bahananya bila lebih lajak dari laju bila bercakap sehingga belum apa-apa lagi pemimpin tertinggi PAN sudah terpaksa menelan kata-kata sendiri pula.
 
Jangan nanti selepas ini bilangan enam kerusi yang dikategorikan sebagai “kerusi gred A” ini juga akan bertukar menjadi “kerusi gred B, C dan D” sudahlah. – HARAKAHDAILY 24/1/2018
Advertisement