Apakah Umno-BN akan hancurkan negara jika kalah PRU?

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak bahawa negara akan hancur jika bertukar kerajaan adalah tidak demokratik dan bertentangan dengan nilai demokrasi yang menjadi dasar politik negara.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sistem demokrasi yang negara amalkan sekarang tidak akan mengundang sebarang huru hara.
 
Katanya, ini dibuktikan dengan beberapa negara termasuk Amerika, UK dan dalam konteks di Malaysia seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor telah berjalan dengan harmoni.
 
“Huru hara selalunya akan dilakukan oleh pihak yang kalah dan bukan bagi pihak yang mencapai kemenangan.
 
“Jadi dalam kontek politik Malaysia, pembangkang sudah pun biasa dengan kekalahan dan tidak ada sebarang huru hara pun yang berlaku,” katanya.
 
Beliau mempersoalkan sama ada kenyataan Perdana Menteri itu menggambarkan bahawa beliau akan membuat sesuatu jika BN kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
 
Bagi PAS jelasnya, akan menjamin peralihan kuasa berjalan dengan harmoni dan PAS adalah parti yang komited mendokong keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negara.
 
Beliau turut menafikan dakwaan Najib bahawa janji yang ditaburkan oleh pembangkang semasa proses pilihan raya adalah semata-mata untuk berkuasa.
 
“Pada saya, rakyat boleh melihat kebanyakan janji yang tidak ditunaikan adalah dari BN bukan dari pembangkang. Contohnya pada setiap kali pilihan raya kecil berbagai projek dijanjikan tetapi selepas piliah nraya tidak ada pun yang dibuat,” tegasnya.
 
Mengulas mengenai manifesto PAS terangnya, ia dibuat menurut kajian yang sangat rapi termasuklah melibatkan sumber kewangan dan kesan kepada kedudukan ekonomi negara.
 
Maklum beliau, manifesto PAS bukan sengaja untuk popular dan ianya adalah tawaran atau komitmen yang berpijak di bumi nyata. – HARAKAHDAILY 25/1/2018
Advertisement