Pentingnya ‘ilmu taksir’ dalam berjamaah

ILMU taksir penting dalam berjemaah. Kita bermula dari bawah tanpa sebarang jawatan. Sedikit demi sedikit ditaklifkan memikul tanggungjawab dalam parti. Dari Cawangan, Dun, Kawasan, Negeri dan Pusat.
 
Kita pernah berada di posisi sebagai seorang ahli merangkap petugas kecil tanpa jawatan dan tak dikenali berurusan dengan pimpinan. Ada mu’alamalah pimpinan terhadap kita yang mengembirakan dan ada yang tak mengembirakan. Semua itu adalah pelajaran dan pengalaman. Kita belajar secara senyap.
 
Sekarang kita berada di posisi di mana sahabat-sahabat dari seluruh negara pula berurusan dengan kita. Maka kita cuba untuk tak ulangi apa yang kita rasakan perlakuan terhadap kita yang tak mengembirakan suatu ketika dulu. Ini dinamakan ilmu taksir. Kalau kita rasa tak suka orang lain buat begitu kepada kita, jangan lakukan perkara yang sama kepada orang lain.
 
Telefon kena jawab. Tak dapat jawab sebab sedang meeting atau dalam majlis, sekurang-kurangnya reply dengan sebaris mesej. Sebelum tidur ambil masa 5 minit untuk scroll mesej dan whatsapp peribadi kalau-kalau ada yang kita belum reply. Jawablah walau sepatah ucapan wa’alaikum mussalam dan terima kasih.
 
Bila berjanji nak hadir ke sesuatu program, jangan dengan begitu mudah batalkan kehadiran sedangkan tuan rumah dah buat persiapan. Duduk dalam sesuatu majis, jadikan amalan untuk tunggu majlis sampai habis. Jangan lepas kita berucap, terus tinggal majlis yang belum selesai. 
 
Jangan terlalu memilih program. Nak hadir yang besar dan program yang ada nama sahaja. Tak dapat tunaikan jemputan segera, kita cadangkan tarikh lain yang ada keluangan. 
 
Tak munasabah bila dijemput, penganjur kata, terpulang kepada keluangan tarikh pimpinan untuk hadir dan mereka boleh terima pada bila-bila masa saja. Tak kan dalam masa sebulan dua tak ada satu tarikh kosong untuk kita tunaikan hajat sahabat seperjuangan. 
 
Sebolehnya kita cuba untuk tak nak membebankan tuan rumah penganjur program. Sekadar layanan yang paling simple diperlukan. Hanya perlu confirm program dua atau tiga hari sebelum tarikh, hantar sekeping poster program, ada location untuk dituju atau ada sahabat tolong tunggu untuk tunjuk arah jalan. Itu sahaja. Kerap kita mandi dan rehat di hentian lebuh raya saja. 
 
Kalau perlu naik flight, kita tak pernah minta penganjur belikan tiket. Semua kita boleh urus sendiri.  Kita tak perlukan hotel atau penginapan selesa. Ada rezeki penganjur sedia makanan, kita terima dengan syukur. 
 
Sebagai pimpinan, penganjur tak perlu tanya sama sekali berapa perlu bagi dalam sampul. Tak ada dalam kamus pimpinan soalan ini. Tanya pun kita tak akan jawab. Diberi kita terima. Tak diberi pun kita balik dengan lapang dada. Ada ketika kita pulangkan semula sampul kepada penganjur kerana sebab tertentu. Pimpinan parti bukan penceramah selebriti dengan rate tersendiri. 
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/1/2018
Advertisement