Pok Awang penyeri ceramah PAS

GELAGAT lelaki warga emas berbadan kecil yang cukup bersemangat dengan laungan takbir “AllahuAkbar!” menjadi penyeri kepada ceramah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim, di Kampung Batu Putih, Kertih, Kemaman.
 
Beliau berjaya menarik perhatian ramai, apabila dengan cukup bersahaja ke pentas ceramah bertanyakan soalan isu semasa kepada peneramah tersebut, malam tadi.
 
Telatahnya telah cukup diketahui oleh masyarakat setempat termasuk dikalangan pimpinan dan aktivis parti. Kelibatnya pasti ada di setiap program parti termasuk yang diadakan di Lembah Klang.
 
Nama sebenar beliau adalah Awang Muda, dilahirkan pada tahun 1935 lagi dan kini genap 82 tahun adalah veteran parti yang menjadi penyeri setiap kali program ceramah diadakan.
 
Sama ada bersila atau di atas kerusi, kedudukan beliau tentunya bertentangan dengan penceramah, mudah katanya menangkap bait-bait kata lalu bersedia dengan laungan takbir.
 
“Pok Awang orang lama dalam parti, istiqamah dengan perjuangan dan program, jika sedang demam pun, dapat dengar pemimpin berucap boleh jadi baik serta-merta,” kata beliau yang membahasakan dirinya sebagai Pok Awang.
 
“Pok Awang mula mengundi pada pilihan raya umum tahun 1955 ketika berumur 21 tahun lagi, doakanlah supaya dipanjangkan umur dan boleh mengundi dalam pilihan raya ke-14 nanti.
 
“Lambat lagi ke pilihan raya, tidak sabar lagi doh nak mengundi nie?,” soalnya bagai menuntut jawapan ketika ditemui sebaik sahaja program berakhir.
 
Sementara itu, Dr Azman Ibrahim ketika menyampaikan ceramah menitipkan pesanan kepada masyarakat kampung yang hadir untuk kekal istiqamah dengan perjuangan PAS.
 
“Kita jangan berasa hebat dengan orang yang telah pergi (tinggal perjuangan), orang yang tinggal (kekal), istiqamah dalam perjuangan Islam, yang inilah sebentar hebat.
 
“Allah pilih kita untuk istiqamah dan istiqamah ini adalah berat (penuh tanggungjawab). Beristiqamah sampai akhir hayat dan insya-Allah kita yakin Allah akan beri kemenangan kepada perjuangan Islam,” ujarnya sebagai penutup ceramah. – HARAKAHDAILY 25/1/2018
Advertisement