Felda Bukit Bading hanya sebuah janji

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat, Naraza Muda membidas sikap Umno-BN di Terengganu yang hanya tahu berjanji khasnya menjelang pilihan raya, namun selepas itu ‘janji hanya tinggal janji’.

Advertisement

“Hakikat yang berlaku di Felda Bukit Bading, janji demi janji ditabur agar anak muda Felda ini terus berharap kepada janji Umno. Jika PRU13, Menteri Besar sendiri hadir buat majlis pecah tanah untuk membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan rumah kepada generasi Felda Bukit Bading.

“Pun (begitu) projek ini gagal dilaksanakan, sekadar pecah tanah sahaja. Inikan pula hanya Ahli Parlimen hadir menabur janji pemberian lot tapak rumah sebelum Pilihan Raya Ke-14 pula,” ujarnya sinis.

Beliau bersama krew Buletin Online mengadakan tinjauan lapangan ke tapak kawasan paya yang dijanjikan pihak Umno Terengganu itu, sekali gus mengesahkan bahawa pemilihan lokasi juga dibuat secara acuh tidak acuh.

Jelasnya, walaupun tidak mustahil paya tersebut berjaya ditebus guna suatu masa nanti, tetapi ianya memerlukan belanja besar bagi mengekalkan aliran anak sungai yang berada di tengah-tengah kawasan dicadangkan itu.

Kata beliau, untuk mengalih anak sungai ini agak mustahil dan kos berganda juga perlu diperuntukan untuk menimbus paya sehingga melepasi tahap banjir kerana kawasan ini sering ditenggelami air apabila musim tengkujuh.

(ikuti pendedahan lanjut di Harakah cetak terbaru edisi Isnin nanti– HARAKAHDAILY 26/1/2018