Memalukan Umno salah guna MARA

KUALA LUMPUR : Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyelar tindakan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mengarahkan ibu bapa pelajar mengambil surat tawaran kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Dewan-dewan Umno di seluruh negara.

Advertisement

Katanya, MARA adalah agensi yang memperjuangkan hak rakyat dan amat memalukan jika agensi tersebut telah disalahgunakan oleh Umno.

“Mengapa mesti menyerahkan surat tawaran kemasukan pelajar ke MRSM di adakan di dewan-dewan Umno? Mengapa soal pendidikan perlu dipolitikkan?

“Jika tindakan MARA itu atas arahan daripada pihak Umno, amat malang sekali kerana Umno telah menggunakan tempat yang salah.

“Arahan kepada ibu bapa datang ke dewan-dewan Umno hanya untuk mengambil surat tawaran MRSM itu tidak adil. Begitu juga terhadap Umno yang diamanahkan oleh Allah sebagai pentadbir sementara negara,” bidasnya.

Sudah tentu tambah beliau, ibu bapa yang terlibat tidak berpuas hati dengan arahan supaya mengambil surat tawaran di Dewan-dewan Umno.

Persoalnya sebagai parti yang sudah terlalu lama berkuasa, kenapa mesti takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga menggunakan platform pendidikan untuk terus menguasai rakyat.

Hal itu tegas beliau, jelas membuktikan bahawa pimpinan-pimpinan Umno itu sendiri cakap tak serupa bikin.

Sehubungan itu beliau mengingatkan seluruh rakyat supaya sedar penyalahgunaan kuasa yang akan berterusan dilakukan oleh Umno apabila kekal berkuasa pada Pilihan Raya Umum nanti.

“Rakyat perlu memberi peluang kepada PAS dan Gagasan Sejahtera untuk kehidupan yang adil dan sejahtera mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti,” serunya. HARAKAHDAILY 26/1/2018