PAS mahu tindakan segera tangani mendapan tanah

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh menggesa siasatan dan tindakan pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) menangani segera masalah mendapan tanah yang melibatkan ancaman keselamatan terhadap harta benda bahkan mungkin membahayakan nyawa penduduk.

Advertisement

Timbalan Yang DiPertua PAS Temerloh, Hassanuddin Salim berkata, kejadian telah menyebabkan struktur tanah mendap kemungkinan disebabkan aliran air bawah tanah hingga menjejaskan premis atau aset yang berada di atas tanah berkenaan.

Beliau bersama Setiausaha PAS Temerloh, Osman Kateran telah mengadakan ziarah kepada mangsa-mangsa dan tinjauan langsung ke lokasi kejadian tersebut di Taman Temerloh Jaya, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua kereta terperosok bersama mendapan tanah sedalam 2 meter dan mangsa terpaksa menggunakan khidmat kren untuk mengalih keluar kenderaan mereka dari lokasi dengan pembiayaan sendiri.

Kejadian di Jalan 9/7 perumahan itu berlaku di hadapan rumah Shamsul Kamal Rosli di mana van beliau dan kereta anaknya, Amrizal terperosok ke bawah bersama tanah yang mendap melibatkan kawasan garaj kereta di seberang jalan rumah mereka. 

Sementara itu kejadian sama turut berlaku di Taman Temerloh Makmur yang meletakkan beberapa rumah dalam risiko runtuh sekiranya kejadian mendapan di situ tidak diambil tindakan penyelesaian segera.

Dalam tinjauan Hasanuddin di kawasan kediaman itu beliau dimaklumkan oleh wakil penduduk iaitu Hamdan Mohd Isa dan Md Razali Yusof bahawa keadaan tersebut tersebut telah berlanjutan lebih dari 3 tahun dan akan berulang kembali hampir setiap kali tiba musim hujan.

Kata mereka, keadaan lebih buruk pada setiap kali musim hujan di mana menyebabkan pergerakan tanah yang sangat membimbangkan dipercayai berpunca oleh aliran air bawah tanah memandangkan kawasan itu dipercayai adalah kawasn tambakan.

Makluman mereka juga, terdapat rumah di situ telahpun pernah mengalami keruntuhan dan dibina semula buat kali kedua menjadikan penduduk risau kejadian seumpama berulang atau lebih buruk dari itu.

Semasa tinjauan pihak PAS Temerloh mendapati pihak kontraktor MPT sedang melakukan kerja berkaitan, manakala Perbadanan Air Pahang (PAIP) juga giat menyambung paip yang pecah dan menyebabkan bekalan terputus.

Penduduk juga memaklumkan pihak Indah Water Konsortium baharu sahaja selesai kerja-kerja penyambungan paip pembentungan di lokasi kejadian. HARAKAHDAILY 26/1/2018