Dia gelar saya “Abe Din”, itulah Dr Azman…

“ANA baru sampai KB Abe Din,” bingkisan Whatsapp Dr Azman Ibrahim masuk ke ruang legar telefon bimbit milik saya.
 
Tidak kurang sehari dua, Dr Man akan berwhatsapp dengan saya, sama ada bertanya khabar atau tanya dah makan minum.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini tidak lekang dengan senyuman. Walapun saya lebih muda darinya, dia tetap menggelar saya dengan panggilan “Abe Din”.
 
“Abe Din duk mana tu, nanti marilah klinik ambo, kita gi make sama,” kalau penulis ke Kelantan dan menginap di pejabat Harakah Kota Bharu, maka inilah jalur ayat Whatsapp beliau.
 
Terkadang saya naik segan dan malu kerana dia adalah penyumbang tetap bahan-bahan kepada Harakah tanpa bayaran walau sepuluh sen sekalipun
 
Kolum kesihatannya yang berkisar mengenai kesihatan gigi sudah mula dikenali dan tidak pernah walau sekali tidak berjaya disiapkan. Tiap Khamis, artikel kesihatan akan sampai ke meja editor yang mengendali ruangan tersebut.
 
Tidak termasuk lagi bingkisan bahan-bahan telahan santai politiknya, yang saban hari dimuatkan ke Facebook, Whatsapp dan bertebaran tular ke alam maya dan kemudian dikutip percuma Harakah.
 
Malah lebih dari itu, Dr Azman tidak pernah lokek berkongsi pandangan dalam apa sahaja isu yang dihadapkan kepadanya oleh wartawan Harakah.
 
Dia sendiri umpama ‘wartawan Harakah‘ kerana sentiasa mengarang bait ayat, menulis berita untuk tatapan umum.
 
Anak kelahiran Jabi ini tidak pernah menolak permintaan sesiapa sahaja untuk dibantu.
 
Pemegang Ijazah Pembedahan Pergigian dari sebuah universiti di kota Baghdad, Iraq ini bukan calang, kerjanya tiap hari ke sana ke sini dari satu kawasan ke kawasan, dari satu negeri ke satu negeri merentas daerah massa untuk menyampaikan kalam taujihat, idea menyedarkan rakyat.
 
Kalau setakat dari Jabi ke Kota Bharu, itu mainan hariannya. Jika tidak ‘noreh‘ (gelarannya untuk kerjanya sebagai Doktor Gigi) di Klinik Dr Azman di Kubang Kerian, maka dia akan bersama rakyat sama ada mengharung air banjir, masuk selut, berjalan berpanas mahupun merentas sempadan negeri dan negara bagi menjalankan misi khidmat untuk rakyat.
 
Malamnya dipenuhi aktiviti ceramah menyedar ummah, sementara siangnya mencongak langkah kebajikan tanpa mengira batas agama, fahaman politik atau kaum.
 
Pun begitu, Dr Azman yang juga penulis buku “Travelog Lembah Sungai Dajlah dan Furat” sempat mengarang kalam-kalam nasihat, minda politik dan telahan massa rakyat bagi halwa mata pembaca sama ada di alam maya mahupun di dada akhbar bercetak.
 
Dia akan terus berkarya, walaupun ‘noreh’nya jarang-jarang masuk ke poket kerana banyak dilabur demi kerja jamaah. – HARAKAHDAILY 27/1/2018
Advertisement