Isu Kerajaan Campuran

Takiyuddin
PARTI Islam SeMalaysia (PAS) mengesahkan akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) dengan pendirian dan strategi sendiri bersama-sama Gagasan Sejahtera (GS) serta bersedia untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) atau kedua-duanya di mana-mana kawasan yang bakal ditandingi.
 
Sehubungan itu PAS menegaskan bahawa sebarang pandangan atau ulasan yang dibuat oleh mana-mana individu, sama ada dari luar mahupun dalam PAS, yang membawa maksud kononnya wujud atau akan wujud Kerajaan Campuran (UG) antara PAS dengan BN adalah bersifat peribadi dan hipotetikal semata-mata, tidak sama sekali mewakili pandangan atau pendirian PAS dan GS.
 
PAS juga mengesahkan sekali lagi bahawa tidak ada sebarang perbincangan atau keputusan di mana-mana peringkat Parti untuk menubuhkan Kerajaan Campuran (UG) dengan BN ataupun PH dalam konteks PRU 14, sama ada sebelum mahupun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
 
Dalam pada itu, perlu juga ditegaskan bahawa PAS tetap mengekalkan amalan budayanya untuk membuat sesuatu keputusan penting termasuk isu kerjasama ataupun tahaluf siyasi dengan mana-mana pihak secara demokratik dengan mendapat persetujuan ahli-ahli terlebih dahulu melalui satu Muktamar Khas sebelum ia disahkan oleh Majlis Syura Ulamak dari sudut kepatuhan Syarak.
 
Dalam menghadapi PRU 14, PAS berpandangan rakyat tidak seharusnya dihadkan dengan pilihan umpama ‘hitam dan putih’ antara BN dan PH sahaja tanpa mengira aspek benar atau tidak kedua-duanya, sebaliknya mereka perlu diberikan hak untuk membuat pilihan-pilihan lain termasuk PAS/GS tanpa perlu dipaksa atau ditakutkan tentangnya.
Terimakasih
 
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung
 
Bertarikh: 28 Januari, 2018 – HARAKAHDAILY 28/1/2018
Advertisement