Apa motif peruntukan Adun PAS S’gor ditahan?

SABAK BERNAM: Penahanan dan pembekuan peruntukan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor terhadap Adun-adun PAS berlaku dalam keadaan serba pelik, demikian menurut Adun Sabak, Ustaz Sallehen Mukhyi.
 
Akui beliau, secara khusus peruntukan kepadanya telah ditahan sejak September lalu di mana dalam situasi biasa pembekuan hanya berlaku apabila terdapat ‘kes’ berkaitan penggunaan wang. 
 
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor menzahirkan kemusykilannya apabila arahan pembekuan datang dan kemudiannya baharulah disusuli siasatan audit.
 
“Bekukan dulu baru audit datang siasat? Lima (pegawai) audit datang pergi ke semua tempat yang kita telah luluskan (peruntukan). Ada surau kita beri karpet, ada sekolah kita beri ‘aircond” dedahnya pada Ceramah Umum Isu Semasa di Sungai Air Tawar, di sini kelmarin.
 
Menurutnya, pihak audit menemui semua pihak berkenaan yang dibayangkan beliau sebagai hendak mencari kesalahan, namun mendapati pengurusan kewangan Dun Sabak adalah bersih tanpa masalah.
 
Beliau juga menyatakan tidak kisah dengan pembekuan tersebut kerana sejak dahulu pun PAS sentiasa menambah sokongan masyarakat tanpa peruntukan dan akan bertemu dengan Menteri Besar. -HARAKAHDAILY 29/1/2018
Advertisement