PAS Lanchang santuni bekas pejuang Hizbul Muslimin

TEMERLOH: PAS Majlis Tindakan DUN (MTD) Lanchang berkesempatan menjejaki tokoh veteran PAS, Ustaz Tayub Abdullah dan keluarganya sempena program ramah mesra bersama jentera PAS Cawangan di Taman Bukit Bendera, di sini semalam.

Advertisement

Ziarah diketuai Pengarahnya, Hasan Omar itu telah meluangkan masa hampir sejam bersama Ustaz Tayub di mana dalam pertemuan itu, pelbagai pengalaman telah dikongsikan oleh beliau yang juga bekas calon PAS DUN Jenderak era 80-an dahulu.

Menurut Hasan program jejak pejuang seperti itu boleh menjadi satu suntikan semangat kepada ahli dalam menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

Jelasnya, dengan perkongsian suka duka dan pengalaman ditempuhi oleh Ustaz Tayub akan menguatkan semangat berhadapan ujian dan cabaran itu nanti.

“Ziarah seperti ini seharusnya dijadikan program rutin khusus bagi membina kembali hubungan dengan golongan ‘Assabiqun Awwalin’ di samping menjadi pembakar semangat kepada golongan muda dan baharu dalam menghadapi liku-liku perjuangan,” ujarnya yang juga Naib Yang DiPertua PAS Temerloh.

Ustaz Tayub turut pernah berkhidmat bersama Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir sebagai pengasas awal gerakan Hizbul Muslimin dan sempat bersama Almarhum ketika di menetap di Pulau Pinang dan Perak.

Di akhir pertemuan, tokoh tersebut sempat mencicip pesanan khusus buat generasi penggerak parti pada hari ini agar bersungguh-sungguh dan seoptimis mungkin dalam mengerah tenaga kepada gerak kerja jemaah.

Beliau juga berpesan supaya serius membawa risalah nubuwah di dokong itu tanpa berlengah dan bermain-main dengan taklifan yang diberi. –HARAKAHDAILY 29/1/2018