PAS Mentakab optimis bantu masyarakat

TEMERLOH: Jentera Pilihanraya DUN (JPrD) Mentakab optimis dalam menawarkan alternatif dan perkhidmatan terbaik buat masyarakat di kawasan itu bertepatan dengan 10 Tawaran PAS Pahang yang dilancarkan baru-baru ini.

Advertisement

Menurut Pengarahnya, Ustaz Abi Rerah Awang Chik, dalam keadaan PAS hanya bergantung kepada kekuatan dana daripada ahli tanpa sumber luar, namun berjaya membantu dan menyediakan alternatif penyelesaian masalah masyarakat.

“Walaupun bantuan dan sumbangan diberikan oleh PAS tidaklah sebanyak bantuan pihak kerajaan, namun ia cukup untuk membuktikan bahawa PAS mampu.

“PAS mampu memberi khidmat terbaik buat masyarakat apatah lagi jika diberi peluang untuk menguasai pentadbiran negeri,” ujar beliau yang juga Pengerusi Mentakab Sejahtera pada Program Ziarah Kasih di sekitar UPU Sanggang kelmarin.

Dalam ziarah yang turut disertai pasukan sukarelawan perubatan dan Jentera Halwa Dun tersebut, mereka memberikan sumbangan kebajikan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk di sekitar Kampung Desa Murni dan Paya Keladan.

Program itu merupakan rutin mingguan JPrD Mentakab dalam membina hubungan baik dengan masyarakat setempat di samping sebagai medan dakwah bagi memperkenalkan perjuangan Islam kepada golongan sasaran.-HARAKAHDAILY 30/1/2018