Ulamak P. Pinang cetus semangat jihad PRU

BATU KAWAN: Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Batu Kawan telah menganjurkan Nafir Jihad Siyasi bertempat di Pondok Turath, Juru, di sini kelmarin.

Advertisement

Program mendapat sambutan luar jangka daripada ahli-ahli PAS Batu Kawan serta turut dihadiri para ‘Alimat Pulau Pinang itu dimulakan dengan Pengijazahan Wirid Mafatih An-Nasr.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar dalam ucapannya menegaskan bahawa supaya tidak bimbang menyebut mengenai Islam.

Menurutnya, walaupun terdapat pihak lain yang takut kalah sekiranya disebut mengenai Islam, namun tegasnya, Islam wajib diterangkan kepada pengundi.

“Semua Nabi dan Rasul menyebut mengenai Islam dalam siri perjuangan mereka. Kita mengikut perjuangan mereka dan kita akan sebut Islam sebagai tawaran kita bagi menyelamatkan negara ini.

“Nabi Muhammad S.A.W. telah mentarbiyah Sahabat hidup dalam keadaan susah. Berperang dalam keadaan kelaparan yang amat sangat.

“Tetapi ingatlah dalam keadaan sabar menempuh kesukaran itu, Allah berikan kemenangan kepada tentera Islam,” ujar beliau lagi.

Kemuncak program itu adalah pembentangan daripada Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Tuan Guru Siddiq Noor yang bertajuk ‘Ukhuwwah Pemangkin Kemenangan PRU 14’.

Dalam ucapannya yang menggegarkan itu, beliau mencabar semua ahli PAS untuk membakar semangat peribadi bagi menyertai peperangan PRU14.

Beliau mengingatkan seruan Allah kepada Nabi supaya membakar semangat orang beriman melalui firman-Nya dalam ayat 41 surah at-Taubah supaya ke medan sama ada dalam keadaan ringan atau berat.

Mengulas peluang orang bukan Islam untuk mengundi PAS, beliau optimis berpandangan bahawa suatu masa nanti mereka akan memilih PAS.

“Ini disebabkan masalah di Malaysia sekarang adalah tentang rasuah, penyelewengan dan ketirisan. Kalau nak cari parti yang tidak tiris dan tiada rasuah, parti mana?

“Semua pihak tiada pilihan selain PAS. Hanya PAS yang terbukti memerintah tanpa ketirisan walaupun sepanjang 27 tahun memerintah Kelantan,” ujarnya mencerahkan minda.

Mengakhiri ucapan, beliau menyebutkan beberapa syarat kemenangan perlu dipenuhi oleh hizbullah antaranya menjadikan diri sebagai kekasih Allah, bekerja dalam satu saf, membudayakan jihad, tidak merasa lemah ketika berhadapan dengan musuh, serta memberi wala’ kepada pimpinan. -HARAKAHDAILY 30/1/2018