Yusof Azmi terjah Karnival jom Ke MyHarakah Bazaar

KUALA  LUMPUR: Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi mengambil kesempatan berkunjung ke Karnival Jom Ke MyHarakah Bazaar, di sini bermula semalam sehingga 3 Februari.
 
Ujarnya kehadiran beliau adalah sebagai menunjukkan sokongan terhadap usaha MyHarakah Bazaar yang ingin menjadi sebuah hub menyediakan dan menjual keperluan produk barangan Islam.
 
“Insya-Allah saya menyokong usaha ini dan saya mengharapkan MyHarakah Bazaar boleh buat lebih baik lagi kerana saya melihat perjuangan orang-orang Islam sendiri biarpun saya tidak terlibat dalam perjuangan politik, tetapi jika inilah usaha yang dibawa ini kerana Allah maka memang saya sokong.
 
“Kerana saya nak bersama dengan orang-orang yang memperjuangkan Allah dan Rasul-Nya dan saya mohon juga kepada kepimpinan parti yang ada di Malaysia hari ini sekiranya saya sendiri ada buat salah tolong tegur dan perbetulkan saya.
 
“Selain itu saya juga lihat kesungguhan Harakah ini yang mana perjuangan sangat baik dan usaha MyHarakah Bazaar ini mungkin boleh menjadi pemangkin khususnya kepada pembelian produk-produk makanan yang mana umat Islam kena ‘rasis’ perlu cari produk Islam kerana sudah tentu ia lebih bersih dan suci,” katanya.
 
Karnival Jom Ke MyHarakah Bazaar telah memulakan programnya dengan perasmian oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
 
Hijau FM turut bersiaran secara langsung dari MyHarakah Bazaar dan warga kota yang masih mencari lokasi untuk beriadah boleh mengambil kesempatan berkunjung ke Karnival Jom Ke MyHarakah Bazaar kerana cuti umum Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan akan disambut pada hari ini dan 1 Februari. -HARAKAHDAILY  31/1/2018
Advertisement