Perlu ‘recycle’ Tun M menjadi Perdana Menteri?

SELEPAS saya menulis artikel dalam kolum Kalam Perantau bertajuk, “Mencari PM selepas Najib”, seorang pembaca dari Pantai Dalam bernama Jalil Yusof menghantar salinan keratan artikel dari akhbar Mingguan Kota yang ditulisnya  membincangkan tentang teori RAHMAN bertarikh 14 Ogos 1998.
 
Saya mengucapkan terima kasih di atas titipan beliau, “Hati-hati dengan ramalan” terutama bila saya menyebut dalam mencari Perdana Menteri baru selepas Najib kemungkinan muncul teori HAMKA atau MAHA? 
 
Untuk rekod, jika diteliti semula tulisan tersebut yang disiarkan ( Harakah Bil: 2315/15-18 Januari, 2018) saya mengambil tulisan Ruhanie Ahmad dari blognya, Kuda Kepang bertarikh 5 April, 2009  menyebut, mungkin muncul pihak yang akan mengemukakan teori-teori lain bagi meramalkan siapakah PM Malaysia di masa akan datang. 
 
Disebutnya mungkin muncul teori HAMKA, dengan ‘H’ tersebut akan dimulai oleh Hishamuddin Tun Hussein sebagai PM Ke-7 selepas Najib.
 
Melihat kepada realiti politik semasa, jika Umno-BN masih lagi diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti kemungkinan Najib diganti oleh Hishamuddin tidak dapat ditolak begitu sahaja, walaupun Ahmad Zahid Hamidi, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menjalan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno bila Tan Sri Muhyiddin Yasin dipecat dari kedua-dua jawatan tersebut sebelum ini.
 
PH umum Tun M jadi PM ‘recycle’
 
Kesediaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk menjadi Perdana Menteri ketujuh dinyatakan dalam temu bual `Hang Tanya Che Det Jawab’ menerusi siaran langsung Facebook rasminya sebelum ini. 
 
“Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan dalam PH, kalau mereka ada cadangan itu (memilihnya menjadi Perdana Menteri) dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbang (jawatan Perdana Menteri). 
 
“Tetapi buat masa ini saya tidak bersetuju jadi Perdana Menteri, selepas saya bersara saya takkan jadi Perdana Menteri lagi,” katanya. 
 
Dr Mahathir menjawab soalan dikemukakan pemilik akaun Facebook yang mengikuti sesi temu bual berkenaan yang mahu mengetahui sama ada beliau masih berminat untuk menjadi Perdana Menteri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14. 
 
Menjawab soalan jika beliau tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri, apakah peranan yang akan diambil jika PH berjaya menumbangkan Kerajaan BN, Dr Mahathir berkata sekurang-kurangnya pandangan beliau diambil kira oleh parti yang memerintah berhubung isu atau masalah dihadapi negara.
 
“Ini kerana saya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, saya mempunyai banyak pengalaman dan maklumat mungkin berguna… kalau saya diberi peluang untuk memberi pendapat, kalau ada soalan (isu/masalah) yang memerlukan perbincangan, saya bersedia mengambil bahagian untuk mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi,” katanya. 
 
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, perkara pertama yang akan dilakukan beliau bagi membantu ekonomi negara jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri atau penasihat kerajaan, beliau akan menubuhkan jawatankuasa dianggotai pakar dalam bidang berkaitan. 
 
Melihat kepada kesungguhan Pakatan Harapan (PH) dalam konvensyennya pada 7 Januari 2018 lepas yang mencalonkan Tun Dr Mahathir menjadi calon Perdana Menteri selepas PRU ke-14 nanti, andainya PH menang, jadi pada saya teori HAMKA yang disebut oleh Ruhanie atau lebih mesra dipanggil Ron tertolak dengan sendirinya.
 
Saya pun sebut dalam tulisan tersebut, dengan Mahathir sebagai PM ‘recyle’, tidak mustahil wujud pula teori MAHA dan selepas itu, Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika tidak dikhianati sekali lagi. 
 
Saya tidak pasti, logik yang digunakan PH bila calon Perdana Menteri ini adalah bekas Perdana Menteri berumur 93 tahun yang dah meletak jawatan selepas memerintah selama 22 tahun. 
 
Tidak pernah wujud senario seumpama ini, bukan saja di Malaysia tetapi juga dunia.
 
Malah muslihat apa pula terutama dari PKR, bila diwar-warkan  bahawa calon Perdana Menteri de facto PH masih Anwar. Kedudukan Dr Mahathir sebagai calon PM adalah hanya untuk memberi jalan kepada Anwar. 
 
Senario ini tidak pernah berlaku di mana-mana pun di dunia di mana penetapan calon Perdana Menteri dan timbalannya dari PH itu dibuat dalam kerangka bahawa kesemua proses itu adalah untuk akhirnya menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan Perdana Menteri.
 
Memang Anwar Ibrahim diumumkan sebagai PM Ke-8 oleh PH walaupun Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar yang juga Presden PKR dan PH diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas PRU Ke-14.   
       
Saya tidak bercadang untuk membincangkan baik buruknya Tun M menjadi Perdana Menteri sekali lagi atau lebih baik disebut PM recycle. Pada saya sekalipun PH berjaya menang, jawatan Perdana Menteri tak sesuai lagi diberikan pada Tun M sebab zamannya dah berlalu. Umurnya sekarang pun dah 93 tahun. 
 
Saya boleh bersetuju dengan cadangan seorang pemimpin wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, jawatan yang sesuai untuk Tun M adalah sebagai Menteri Mentor atau Menteri Kanan seperti yang yang dibuat oleh Kerajaan PAP di Singapura yang menjadi parti asal atau ‘sekutu’ DAP. Saya pun ada sebut dalam artikel berkenaan, jika bukan Mahathir PM recycle, teori ini juga tertolak.  
 
Malah dalam tulisan tersebut, saya ada menulis juga teori RAHMAN tersebut adalah dua pusingan atau berkembar. Ini berdasarkan kepada pasangan Yang Dipertuan Agong pertama dan Perdana Menteri yang pertama bernama Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Abdul Rahman.
 
Melihat kepada realiti politik semasa berlaku pertandingan 3 penjuru, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (GS) sebagai ‘third force’. Katalah tiada mana-mana pihak yang dapat 112 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan simple majority.
 
Kalau PH menang pun, ia sudah cukup untuk menjadi suatu peristiwa bersejarah. Ini kerana Malaya dan Malaysia tidak pernah menyaksikan kemenangan pihak pembangkang. Jika berlaku ‘hung’ parlimen bila mana sebagai contoh PH mendapat 92 kerusi, BN mendapat 90 kerusi dan GS (atau lebih tepat lagi PAS) mendapat 40 kerusi parlimen yang disasarkan.
 
Dalam keadaan begini, andaikan tiada Ahli Parlimen yang melompat. PAS menjadi kuasa penentu atau  ‘king maker’ dalam menentukan kerajaan. 
 
Ini memberikan peluang kepada PAS berusaha mendapatkan 40 kerusi parlimen yang disasarkan bagi menentukan kerajaan yang hendak dibentuk pasca PRU ke-14 nanti. -HARAKAHDAILY 31/1/2018
Advertisement