Ahli PAS tidak terpengaruh kempen ‘Undi Rosak’

KUALA TERENGGANU: Ahli dan penyokong PAS lebih cerdik dan tidak mudah terpengaruh dengan idea karut yang berkempen bagi merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak berkata kempen undi rosak itu perkara baharu dan belum tentu kesannya.
 
Namun, katanya pengundi muda yang ramai hari ini masing-masing berpendidikan serta tahu baik buruk kesan dari kempen tersebut.
 
Beliau turut menyifatkan kempen undi rosak itu sebagai idea karut yang bakal merugikan masa depan generasi muda dan negara.
 
“Kempen (undi rosak) itu pun baru dan kita tidak tahu lagi kesannya kepada para pengundi. Tapi saya rasa, anak-anak muda sekarang sudah berpendidikan dan saya rasa mereka tidak terpengaruh dengan idea-idea yang karut sedemikian.
 
“Pengundi PAS lagi cerdik sebab selalu dengan ceramah dan penerangan dari pimpinan PAS. Saya serulah kepada pengundi-pengundi muda supaya berfikir secara matang, waras bahawa kita merosakkan undi itu tidak memberikan untung kepada sesiapa. 
 
“Malah, merugikan kita dan merosakkan masa depan kita sendiri, tegasnya kapada media selepas menghadiri Mesyuarat Lajnah Politik PAS Terengganu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Jalan Sultan Omar, di sini, semalam. 
 
Justeru, katanya pilihan terbaik yang ada di hadapan rakyat sebagai pengundi bagi memilih parti pada PRU14 adalah PAS dan Gagasan Rakyat.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal mendakwa golongan profesional yang istiqamah menyertai PAS bukan kerana habuan kebendaan.
 
“Apa yang ada pada hari ini dan yang terbaik ialah PAS. Sebab PAS yang terbaik yang saya pilih PAS dan kita orang profesional ini main politik bukan untuk cari kepentingan.
 
“Profesion kita selama ini pun padan (cukup) doh. Tapi kita nak membantu rakyat dan membina masa depan anak muda kita, negeri dan negara tercinta ini. 
 
“Kita ada anak, ada generasi kita dan kita tidak mahulah mereka ini hidup dalam keadaan yang menderita suatu masa kelak akibat dari kesilapan yang dibuat pada hari ini,” jelasnya merujuk kepada kempen undi rosak tersebut. 
 
Dr Alias menggesa kepada pengundi yang hilang keyakinan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan agar memilih PAS kelak.
 
Katanya, PAS akan bertanding seberapa banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU14. – HARAKAHDAILY 1/2/2018
Advertisement