Projek lembangan sungai 15 tahun berlalu

KETIKA merasmikan jambatan yang menghubungkan Tendong dengan Pendek, Salor 15 tahun lepas diumumkan projek lembangan Sungai Kelantan.

Advertisement

Malah mereka yang datang ke program tersebut dapat melihat lakaran projek yang diedarkan. Disebut akan dibina empangan bagi menakung air di kawasan hulu Kelantan.

Janji itu disebut Perdana Menteri ketika itu di hadapan lebih 15,000 rakyat Kelantan, lapor sebuah akhbar. Rakyat hadir pada perasmian jambatan berharga RM166.3 juta yang disempurnakan Sultan Kelantan.

Siapa perdana menteri ketika itu. Oghe Kito masih ingat, tidak lain lagi iaitu Dr Mahathir Mohamad (Tun).

Kata perdana menteri tahkala itu, rakyat Kelantan perlu menoleh ke belakang bagi menilai semula mandat yang diberi kepada PAS.

Kalau kita tidak berhati-hati dan memilih kerajaan yang tidak mampu, mustahil (janji-janji) hendak dilaksanakan, katanya.

Hari ini selepas 15 tahun berlalu, Oghe Kito puas intai di mana projek tersebut. Dari Gua Musang ke Tumpat, tidak pula ditemui bayangnya.
Siapa yang tidak tunai janji, Umno atau PAS. Tokoh yang dianggap negarawan itu hari ini mengimpikan lagi menduduki kerusi perdana menteri.

Kasihan Oghe Kito melihat lagaknya. Pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti penuh mulut menyifatkan Dr Mahathir antara pemimpin terbaik bagi mereka.

Mereka tidak mahu membelek sejarah. Dek politik emosi dan dendam mereka lupa susur galur sejarah negara.

Oghe Kito tidak mahu mengungkit satu-satu penderaan politik terhadap Kelantan di era itu. Biarlah pemimpin PH sekali sekala belajar sejarah.

Apa pun kalau ditakdir impian mereka menjadi kenyataan, Dr Mahathir akan dicatat pemimpin paling tua di dunia di saat itu.

Rekod pemimpin paling tua sekarang dimenangi Beji Caid Essebsi pengasas Parti Nidaa Tounes di Tunisia. Beliau sekarang berusia 91 tahun. Menang pilihan raya Presiden Tunisia pada 2014.

Mungkinkah negarawan terbabit mahu mencipta rekod baru lagi. Bukan niat Oghe Kito mahu mempersenda sesiapa. Jasa dan ketokohan Dr Mahathir sebagai harimau Asia sedia dimaklumi.
Apa pun selepas 15 tahun projek lembagan Sungai Kelantan tiada bayangnya, tiba-tiba Ahad lalu ia dinukilkan kembali.

Apakah Dato’ Sri Najib Razak mahu menjejaki jejak dicipta Dr Mahathir. Oghe Kito berbaik sangka, mungkin tidak.

Cuma rakyat Kelantan bimbang projek yang disebut bernilai RM9.6 bilion mungkinkah sekali lagi diheret pelabur dari Tembok China.

Sedangkan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sudah lama dilulus di kertas tetapi bukan di lapangan.

Oghe Kito yakin rakyat Kelantan kenal antara kaca dan permata.-HARAKAHDAILY 1/2/2018