Umno berdosa sebabkan ‘murtad’ melalui pindaan Akta164

RANG UNDANG-UNDANG (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat pada 10 Ogos 2017.

Advertisement

Pindaan RUU ini dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan tiada bantahan oleh mana-mana ahli Parlimen Umno.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) memohon untuk diadakan undi belah bahagi, namun tidak dibenarkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kerana tidak cukup 15 Ahli Parlimen yang berdiri menyokong.

Pindaan akta 164 membenarkan pasangan berlainan agama seperti Islam dan bukan islam merujuk mahkamah Sivil untuk pembubaran perkahwinan dan menuntut hak penjagaan anak.

Dengan kuasa baru ini, ia sekali gus menguatkan kedudukan Mahkamah Sivil untuk overule kuasa Mahkamah Syariah yang sebelum ini memberikan hak mutlak kepada ibu bapa beragama Islam menjaga anak mereka.

24 April 2009 – Indira Gandhi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh mendapatkan hak penjagaan tetap ke atas tiga anaknya.

29 September 2009 -Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberikan hak penjagaan anak kepada Muhammad Ridhuan.

11 Mac 2010 – Mahkamah Tinggi Ipoh beri hak penjagaan anak kepada Indira Gandhi, bapa diberikan hak lawatan sekali seminggu.

30 Mei 2014 – Muhammad Ridhuan dikenakan perintah menghina mahkamah, waran tangkap dikeluarkan terhadapnya selepas dia gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya. Indira Gandhi dapat perintah Mahkamah Tinggi yang memerintahkan polis mencari Muhammad Ridhuan.

17 Disember 2014 – Mahkamah Rayuan ketepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya Ketua Polis Negara (KPN) menahan Muhammad Ridhuan dan mengembalikan anak perempuannya kepada bekas isteri.

22 April 2015 – Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Indira Gandhi merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perintah ke atas Ketua Polis Negara (KPN).

29 April 2016 – Mahkamah Persekutuan memerintahkan KPN menahan Muhammad Ridhuan.

Keputusan ini sekaligus mengenepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak guru Tadika M. Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf.

Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bersama bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Sijil penukaran agama kepada Islam tiga anak itu adalah tidak sah kerana sijil tersebut dikeluarkan tanpa persetujuan Indira Gandhi. Secara automatik anak-anak itu didesak kembali kepada agama asal, dalam bahasa lain menjadi murtad.

Saya juga kesal selepas melihat beberapa ahli kumpulan yang menyokong gerakkan Islam Liberal hadir meraikan ‘kemenangan’ Indira. Tindakan mereka itu sangat memalukan dan serupa macam Umno.

Pihak Polis di arah oleh Mahkamah untuk mencari anak-anak Indira bagi melaksanakan keputusan tersebut. 

Hingga kini kanak-kanak ini bersama bapa mereka Muhammad Riduan Abdullah masih gagal ditemui dan mereka masih beragama Islam.

Pindaan Akta 164 menjadi jalan pemudah kepada tuntutan Indira dalam pertikaian panjang sebelum ini. Jelas Umno telah mengambil tindakan yang salah kerana memfokuskan kepada pindaan Akta 164 tanpa memikirkan kesannya.

Sepatutnya Umno memfokuskan bagi menaiktaraf bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menguruskan isu sebegini.

Pindaan Akta 164 hanya merendahkan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja. Umat Islam ramai yang kecewa, dan kesal dengan sikap Umno yang tidak jujur dalam memperjuangkan nasib umat Islam.

Kelemahan perundangan kita juga jelas kerana kita menetapkan bahawa hanya mereka yang berumur 18 tahun ke atas sahaja boleh menentukan agama mereka. Kanak-kanak dibawah umur 18 tahun tidak punya kuasa khususnya bila melibatkan pasangan ibu bapa yang bercerai.

Kita juga memahami hak dan tuntutan masyarakat bukan Islam. Tapi sebaiknya perlu ada klausa kelonggaran untuk Mahkamah memberikan peluang kanak-kanak ini memilih untuk kekal agama asal atau mengikut agama baru. Jika dalam sesetengah kes tuntutan penjagaan anak, kanak-kanak dibenarkan memilih nak tinggal dengan siapa, mengapa tidak boleh benarkan mereka memilih agama. Malah undang-undang juga wajar menetapkan hak penjagaan yang seimbang supaya tiada pihak yang tertindas.

Saya percaya, jika anak-anak ini kuat imannya walaupun mereka kembali kepada ibunya mereka masih mahu bersama Islam. Saya juga percaya yang kedua ibu bapa ini perlu bertemu dan berbincang bersama anak-anak mereka. Lagi pun anak-anak mereka kini sudah remaja.

Kita usaha dan doakan semoga hidayah Allah kekal dalam hati anak-anak Indira, tetapi jika mereka ingin kembali kepada agama asal kita serah pada Allah.

Saya juga harap dalam melayani kesedihan ini umat Islam dapat kawal perasaan, kita tidak mahu isu ini mengugat keamanan dan perhubungan antara kaum dan agama. Kita hormati hak beragama Indira, dan harap mereka juga hormati kita.

Apa pun, umat Islam tetap kesal kerana Umno gagal kali ini. Dan ini membuktikan bahawa Umno bukanlah sandaran terbaik untuk umat Islam dinegara ini. PAS adalah satu-satunya parti yang benar-benar serius memperjuangkan nasib umat Islam. Maka dalam PRU-14 umat Islam perlu meramaikan pemimpin Islam di parlimen dengan memastikan calon-calon PAS menang majoriti kerusi Parlimen. -HARAKAHDAILY 1/2/2018

HERMAN SAMSUDEEN
Kuala Lumpur