SRIDTK mengorak langkah bina bangunan 4 tingkat

KEMAMAN: Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa Kemaman (SRIDTK) telah mengadakan majlis makan, solat hajat dan pelancaran derma bagi pembinaan bangunan 4 tingkat di Bakau Tinggi, di sini semalam.

Advertisement

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata, SRIDTK bermula sekitar 29 tahun lalu dengan 13 pelajar dan kini 425 pelajar, menunjukkan masyarakat sudah menerima sistem persekolahan berteraskan Pendidikan Islam.

Menurut Mudir SRIDTK, Ustaz Zahari Draman, dalam tempoh itu, sekolah tersebut telah tiga kali berpindah iaitu lokasi awalnya di Pasir Minal, kemudian Injin Gergaji, sebelum beralih ke Bakau Tinggi.

“Ketika ini, kadar pengambilan pelajar untuk tiga kelas adalah 90 hingga 100 pelajar. Namun sekarang permintaan mencecah sehingga 150 pelajar dan kita terpaksa tolak.

“Atas sebab inilah, kami mengambil inisiatif untuk membina bangunan 4 tingkat yang menelan belanja RM2.8 juta dan bangunan ini dilengkapi dengan 23 bilik pelajar, satu bilik mesyuarat, satu bilik komputer, satu perpustakaan, satu makmal sains, tandas dan dua bilik guru.

“Ketika ini kami mempunyai 425 orang pelajar, 28 orang guru. Pencapaian kami tahun lalu, tiga orang pelajar mendapat 13A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah Islam (UPSRI) dan seorang 6A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRIDTK, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek mengharap semua pihak terus mendokong usaha ke arah memajukan institusi pendidikan yang menyumbang jasa kepada pembangunan ummah itu.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun Maybank 563028615148 (Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa) atau Bank Islam 13026020421257 (Tabung Kebajikan Darul Taqwa).

Sebarang pertanyaan hubungi, Ustaz Zahari, 011-37529678 atau Ustaz Shukri, 019-9855895. –HARAKAHDAILY 2/2/2018