AirAsia patut beri kebebasan dalam isu aurat

PERKEMBANGAN dan kemajuan yang ditonjolkan syarikat penerbangan Air Asia seringkali mendapat perhatian umum. Namun begitu, kini ia bertukar kepada berita yang memalukan apabila syarikat penerbangan tersebut berdiam diri terhadap arahan menutup aurat bagi pramugari.
 
Terbaru Rabu lalu, akhbar tempatan Malaymail Online telah menyiarkan artikel bertajuk “AirAsia, Firefly Crew Must Now Wear Tudung for Aceh Landing”.
 
Melalui artikel tersebut, satu arahan telah dikemukakan oleh Kerajaan Aceh supaya semua Syarikat Penerbangan yang mendarat di Aceh mestilah mengenakan pakaian menutup aurat bagi Muslim dan pakaian sopan bagi pramugari beragama selain agama Islam.
 
Walaubagaimanapun, kami Dewan Muslimat PAS Malaysia agak kesal dengan respon balas yang dikeuarkan AirAsia dengan menyatakan pihaknya akan memastikan hanya anak kapal lelaki yang akan ditugaskan membuat penerbangan ke Aceh. Apakah AirAsia masih angkuh menolak permintaan menutup aurat?Adakah menambahkan lagi liabiliti serta kos-kos tambahan yang besar untuk mengikut arahan tersebut? 
 
Kami menggesa supaya hal ini dipandang serius. Ini bukan pertama kali syarikat penerbangan ditegur mengenai etika pemakaian menutup aurat bagi pekerja Islam, malah sebelum ini sudah banyak isu ini dibangkitkan. Namun, ia bagai air yang mengalir begitu sahaja tanpa dihiraukan.
 
Sesungguhnya menutup aurat adalah perintah Allah S.W.T yang wajib dituruti. Al-Quran menegaskan melalui firmanNya yang bermaksud:
“Hai anak adam, sesungguhnya kami telah turunkan kepadamu pakaian untuk melindungi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan” dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Oleh yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”.
[Surah Al-A’raf (7):26]
 
Oleh itu, kami DMPM berharap kesemua syarikat penerbangan memandang isu ini dengan hati yang terbuka. Usahlah kita mengejar kemajuan dengan mengikut gaya hidup yang terpesong dari aqidah umat Islam dengan meletakkan dasar Islam di tempat yang hina. Semoga kita semua diberi hidayah oleh Allah S.W.T dengan mengamalkan arahan dan meninggalkan semua larangan-Nya.
 
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
16 Jamadil Awal 1439
2 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 3/2/2018
Advertisement