BPMS sudah menjangkau peringkat benua dan dunia

Fenomena apologetik PAS
 
Tidak dinafikan suara-suara sinis sentiasa kedengaran sepanjang PAS menggunakan pendekatan matang dan sejahtera (BPMS). BPMS sengaja dipotretkan dalam bingkaian bergabung dengan Umno walaupun acap kali PAS menafikan. Sejak 2014 suara-suara menuduh ada pemimpin PAS cuba membawa parti untuk membentuk pakatan dengan Umno. Sehingga ke tahun 2018, tiada apa yang berlaku tetapi tuduhan terus dimainkan.
 
Kerana hebatnya ratib PAS mahu bergabung dengan Umno, sebahagian orang PAS mula menyalahkan pendekatan BPMS. Mereka jadi takut kalau-kalau dituduh bersama Umno. Sampaikan bila nampak pemimpin PAS berdakap atau minum sekali dengan Umno sudah gelabah. Kalau tak serang Umno, rasa macam bersalah sangat. Bersungguh nak buktikan kita tiada apa-apa dengan Umno!
 
Strategi musuh Islam berjaya
 
Dengan rasa tidak senang itu, sebenarnya kita sudah termakan dakyah musuh. Mereka memang sahaja mahu PAS menjauhi Umno. Mereka mahu kita sentiasa mencemuh dan berbencian dengan Umno. Kerana mereka sangat takut dua parti terbesar ini bekerjasama. Mereka akan habis! Sejak zaman penjajahan, mereka hanya hidup dengan perpecahan orang Islam dan orang Melayu.
 
Pernahkah kalian dengar strategi pecah dan perintah? Sudahkah kalian baca tentang agenda Balkanization? Mereka tak akan suruh umat Islam berlawan. Itu hanya akan buat kita semakin bersatu. Sebaliknya mereka bina kebencian menggunung terhadap satu pihak, supaya kita jijik untuk mendekati.
 
PAS di arena negara
 
PAS memiliki misi yang sangat penting bagi ummah bukan sahaja di peringkat nasional, malah regional dan internasional. Kalau sekadar bergerak sebagai sebuah parti pembangkang, PAS tidak boleh pergi jauh. PAS akan terus kekal sebagai parti kampungan dan kedai kopi. PAS akan berada di takuk 60-an.
 
PAS memiliki wawasan khusus (WINS2051) untuk membina semula negara yang sedang dilanda masalah. PAS punya solusi untuk menangani masalah kos sara hidup dan sistem ekonomi negara yang pincang (Dokumen Hijau). Untuk melaksanakan semua ini, PAS perlukan kuasa yang lebih dari sekadar yang ada pada parti pembangkang.
 
Untuk masuk ke ruang-ruang yang sering didominasi parti pemerintah seperti di dalam komuniti penjawat awam dan rangkaian media arus perdana, PAS perlu mengubah pendekatan. Untuk menerobos ke gelanggang yang belum pernah ditembusi, strategi Blue Ocean perlu diambil. Anjakan paradigma perlu berlaku untuk mengubah kedudukan yang masih di takuk lama.
 
Dengan BPMS yang diperkenalkan, siapa sangka PAS akan diberi penghormatan mengepalai program mega di lubuk penjawat awam, Putrajaya? Siapa sangka presiden parti bukan kerajaan boleh duduk sama tinggi dengan ketua kerajaan Malaysia? Siapa sangka, liputan agenda PAS semakin diulas dengan jujur?
 
Berfikirlah sebagai seorang negarawan. Jangan selama-lamanya rasa diri sebagai pembangkang. Bimbang terkeliru menjadi ‘pembangang’.
 
PAS di persada antarabangsa
 
Untuk terlibat dengan lebih berkesan di peringkat internasional, PAS perlu kerjasama dari entiti politik antarabangsa yang rasmi iaitu kerajaan. Seandainya mengambil sikap berpatah arang dengan pemimpin kerajaan, agenda PAS tidak akan ke mana. Sekadar bergerak atas nama NGO atau parti, tidak akan memberi apa-apa kesan. Justeru PAS memerlukan platform kerajaan sebagai wadah.
 
Siapa sangka dengan BPMS, PAS berjaya melobi kerajaan sehingga rekod misi kemanusiaan terbesar di Asia iaitu Food Flotilla For Myanmar berjaya dibuat? Siapa sangka hasil desakan persidangan tergempar Negara Asean yang diuruskan oleh proksi PAS berjaya menghentikan misi ketenteraan Myanmar di Arakan?
 
Berfikirlah untuk jaga ummah. Jangan sekadar fikir nak jaga hati seorang dua di sekeliling sahaja.
 
Dunia perlukan PAS
 
Peranan PAS di peringkat regional dan global sangat diperlukan. Disaat orang arab yang dikagumi dunia Islam sudah tidak mampu mengawal nasib diri mereka, umat Islam mula menoleh kepada Presiden PAS. Dahulu semasa Arab Spring, Presiden PAS sendirian menegur Arab agar berhati-hati dengan kebangkitan yang tidak terkawal ini. Tetapi Arab yang ego dengan kedudukan mereka menolak mentah nasihat ajam. Akhirnya dihanyutkan dengan Arab Spring yang dicipta musuh.
 
Sudah terhantuk, baru mereka teringat akan nasihat Presiden PAS dahulu. Kerana itu kini beliau sering dikunjungi berbagai pihak antarabangsa meminta nasihat dan bimbingan. Keadaan dirinya tidak mengizinkan untuk bergerak jauh seperti dahulu, menyebabkan pemimpin masyarakat dan entiti Islam bukan sahaja Arab, tetapi dari serata benua sanggup terbang ke Malaysia.
 
PAS sudah terlibat menangani konflik umat sejak Perang Teluk Pertama lagi. Kini Tuan Guru Ayah Chik sahaja yang masih tinggal dalam PAS di kalangan generasinya. Beliau juga antara yang paling senior di barisan pemimpin gerakan Islam serata dunia. Maka tidak hairanlah, beliau dipilih sebagai satu-satunya ajam berada di barisan tertinggi Kesatuan Ulama Islam Sedunia. Masyarakat Islam nusantara ini turut menumpang bangga dengan wakil rumpun mereka di peringkat global itu.
 
BPMS di landasan yang tepat
 
Jadi usah terlalu defensif mempertahankan diri bila diserang konon PAS sudah bergabung Umno. Jangan bersikap apologetik sehingga hilang keyakinan terhadap jalan yang sedang PAS usahakan. Jangan terlalu paranoid untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam hal yang memberi manfaat buat masyarakat. Jangan bimbang untuk menampakkan diri mesra kerajaan, kerana kita ada prospek tersendiri yang ingin disasarkan.
 
Kita sudah jauh di depan dengan BPMS. Pedulikan sahaja suara-suara sumbang yang sengaja mahu melihat PAS tidak pergi jauh. Suara-suara itu sebenarnya hanya 2 peratus dari rakyat Malaysia. Kebanyakan mereka diupah dan diarah untuk membentuk suasana sedemikian. Mereka pandai manipulasi media sosial, menampakkan diri kononnya mewakili gerakan massa.
 
Tidak perlu takut kepada persepsi yang dibuat-buat. Kalau apa yang kita buat adalah benar dan memberi manfaat untuk ummah, untuk apa mengelak? Perlu yakin bahawa politik damai dan diplomasi ini amat sesuai dengan jiwa lembut orang Melayu dan tingkah santun rakyat Malaysia. Politik berasaskan fakta bukan persepsi adalah dambaan golongan intelek. Politik rasional dan profesional adalah keterujaan buat masyarakat moden.
 
✳ Menilai persepsi yang dicanang PH
 
Persepsi yang mereka bawa tidak mesti betul. Bahkan sudah banyak yang menyimpang. Dulu mereka menyalahkan PAS sebagai punca perpecahan. Sampai ada kalangan kita yang bersikap apologetik masih mahu menyambung hubungan yang telah terputus secara hukum. Takut digelar macam-macam. Tapi hakikatnya tanpa PAS, mereka terus berantakan. Di Selangor, PKR gaduh dengan PAN. Di Terengganu, PAN gaduh dengan PPBM. Di Negeri Sembilan, PPBM lawan pembahagian PH. DAP juga bertepuk tangan. Siapa sebenarnya punca perpecahan?
 
Dulu PAS mereka gambarkan Mahathir bakal bawa ‘impak maksima’ untuk PH. Ada orang kita terpesona dengan nista tersebut, sampai cuha heret PAS untuk bersekongkol. Tapi hakikatnya, pengundi Cina mula menjauhi diri dari PH. Ada yang mencetuskan kempen “UndiRosak”. Sekarang merebak kepada SAMM pula. PSM bertekad untuk lawan PH dalam PRU14 kali ini.
 
Sudah-sudahlah percaya persepsi yang jauh dari realiti. Jangan beralasan konon persepsi harus diurus dengan baik. Sebenarnya apa yang kita namakan persepsi itu tidak wujud pun! Tertipu dengan bayang-bayang sendiri.
 
BPMS politik Sunnah
 
Teruskan dengan BPMS. BPMS adalah politik sunnah. Politik berlandaskan  syarak. Pilih jalan untuk menuju redha tuhan walau zahirnya manusia tampak memurkai. Bila Allah redha, lambat laun manusia juga akan redha. Sabda Rasulullah S.A.W:
 
مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ ، رَضِيَ الله عَنْهُ ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ ، سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ ، وَأَسْخَطَ عليه الناس
“Barangsiapa mencari redha Allah dengan menanggung kemurkaan manusia, maka Allah meredhainya dan manusia akhirnya akan redha kepadanya.
Barangsiapa pula yang mencari keredhaan manusia dengan menanggung kemurkaan Allah, maka Allah memurkainya, dan manusia kelak akan memurkainya jua.”
[HR Ibn Hibban]
 
Sepatutnya orang kata kita nak bergabung dengan Umno. Jawab balik dengan tenang kepada mereka, “Kalau ya, apa salahnya? Jika ini memberi kesan positif untuk ummah?”
 
Kalau tak jawab lagi bagus. Diam dan terus melangkah. Bukan semua benda boleh dijawab dengan lisan dan tulisan.
 
Biarkan sahaja. mereka meroyan. Sebarkan kebaikan. Lambat laun orang akan nampak peranan PAS yang sebenar.
 
17 Jumadal Ula 1439
3 Februari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 3/2/2018
 
Advertisement