Ubi kayu simbolik luahan keperitan rakyat

KOTA BELUD: Seberkas ubi kayu yang diterima Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Ustaz Abdul Hisham Othman sebagai cenderahati perasmi majlis menjadi manifestasi terhadap keperitan dirasai rakyat.
 
Simbolik mewakili suara hati penduduk itu diserahkan kepada beliau seusai merasmikan serentak Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Lilud dan Cawangan Kesapang, di sini semalam.
 
Ubi kayu yang pernah menjadi makanan di era darurat itu sekali gus membawa mesej rakyat menyerahkan sandaran kepercayaan kepada PAS untuk membebaskan mereka dari belengu himpitan hidup.
 
Abdul Hisham dalam ucapannya menyuarakan betapa tekanan ekonomi kos sara hidup yang tinggi masa kini berpunca dari dasar pemerintah tidak mengurus kekayaan negara mengikut perintah Allah.
 
Maka katanya, ketika jurang kaya dan miskin yang kian melebar, golongan fakir terus diperah pemilikannya melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), selain negara turut berdepan kejatuhan nilai ringgit dan harga petroleum.
 
Malah tegas beliau, keadaan bertambah buruk disebabkan salah urus tadbir, penyelewengan dan rasuah dilakukan pemerintah yang mesti segera diselamatkan dengan penyelesaian jitu.
 
Beliau mengemukakan tawaran PAS terhadap permasalahan tersebut yang dikeluarkan sebagai Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051.
 
Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Awang Laiman Ikin dan Yang DiPertua PAS Kawasan Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling serta Ketua Pemuda PAS Kota Belud, Adzmin Awang. – HARAKAHDAILY 4/2/2018
Advertisement